Tunai zakat lebih awal, elak kesesakan

Tunai zakat lebih awal, elak kesesakan

Umat Islam di Negeri Sembilan dinasihatkan menunaikan zakat lebih awal dan tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkan kesesakan di kaunter zakat.

Umat Islam di Negeri Sembilan dinasihatkan menunaikan zakat lebih awal dan tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkan kesesakan di kaunter zakat.

Pengurus Besar Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) Nor Azmi Musa berkata PZNS membuka kaunter zakat di seluruh negeri ini setiap hari, termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang bulan ini.

“Langkah itu bagi memudahkan umat Islam menunaikan pembayaran zakat fitrah dan zakat harta di waktu kelapangan mereka. Ia juga bertujuan menampung kehadiran umat Islam yang kebiasaannya akan mengambil kesempatan menunaikan zakat fitrah dan zakat harta sepanjang ramadan ini,” katanya di sini hari ini.

Kadar zakat fitrah di Negeri Sembilan tahun ini ialah RM6.50 seorang, kekal seperti tahun lepas. Katanya umat Islam boleh melakukan pembayaran zakat fitrah kepada 1,112 orang amil yang dilantik PZNS di masjid dan surau dalam kariah masing-masing.

Nor Azmi berkata bagi umat Islam yang mempunyai kad ATM atau Bankcard, pembayaran zakat harta boleh dilakukan dengan hanya membawa kad ATM di semua kaunter PZNS tanpa perlu membawa wang tunai.

Selain menunaikan zakat harta di kaunter PZNS, umat Islam di negeri ini boleh berbuat demikian di kaunter Pos Malaysia dan ejen bank PZNS seperti Bank Islam, Bank Rakyat, Bank Muamalat, CIMB dan Bank Simpanan Nasional.

“Pembayaran zakat harta juga boleh dilaksanakan melalui internet dengan melayari www.zakatns.com.my,” katanya.

– Bernama