“Orang bukan Islam dilarang guna perkataan Alhamdulillah, Allahuakbar”

“Orang bukan Islam dilarang guna perkataan Alhamdulillah, Allahuakbar”

Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim disaran meletakkan jawatan sebagai ex-officio Dewan Diraja Selangor bagi mengelak berlaku ketidakadilan dalam membuat keputusan mengenai isu berkaitan agama Islam, kata Naib Presiden Majlis Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (MGPSS) Dr Ibrahim Ghafar.

Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim disaran meletakkan jawatan sebagai ex-officio Dewan Diraja Selangor bagi mengelak berlaku ketidakadilan dalam membuat keputusan mengenai isu berkaitan agama Islam.

Naib Presiden Majlis Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (MGPSS) Dr Ibrahim Ghafar berkata pelantikan Abdul Khalid sebagai penasihat Sultan Selangor itu juga atas kapasiti beliau sebagai Menteri Besar.

“Tetapi beliau juga seorang ahli politik, orang Melayu dan Islam. Mungkin tidak dapat berlaku keadilan di sini,” katanya hari ini.

Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan Selangor yang meminta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberikan penjelasan berhubung satu pemeriksaan di sebuah majlis di Gereja Methodist Damansara Utama dekat sini 3 Ogos lepas.

Katanya, kemungkinan besar pelantikan sebagai ex-offico Dewan Diraja Selangor itu juga tidak berlaku jika menteri besar bukan beragama Islam dan seorang Melayu.

“Tambahan pula parti yang diwakili Menteri Besar dilihat tidak cenderung untuk mempertahankan syiar dan akidah Islam,” katanya.

Semalam, pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mendedahkan penemuan soalan kuiz uji pengetahuan mengenai agama Islam pada majlis makan malam di gereja itu.

Wakil kumpulan NGO itu Pengerusi Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya Dr Dzulkhaini Husain dilapor berkata soalan kuiz terbabit ditemui dalam tong sampah bersama aturcara majlis tersebut.

Kuiz bertajuk ‘Let’s test your knowledge’, yang salinannya turut diserahkan, antaranya mengemukakan soalan ‘apa maksud Islam’, ‘maksud Muslim’ dan soalan berkaitan Rukun Iman serta Rukun Islam dengan pilihan jawapan
serta isi tempat kosong.

Sebanyak 12 soalan disediakan menerusi dua halaman yang dipercayai diedarkan kepada hadirin pada majlis itu.

Sementara itu, salinan aturcara yang turut diperolehi antara lain membariskan program nyanyian lagu ‘Alhamdullilah dan Allahuakhbar’ pada majlis yang bermula 6.30 petang dan dijadual tamat 9.55 malam.

Aturcara itu juga menggariskan upacara sembahyang ‘intercession’ dan diakhir dengan lagu ‘Sejahtera Malaysia’.

“Paling utama, Jais tidak melakukan ‘serbuan’ sebaliknya hanya pemeriksaan selepas mendapat maklumat terdapat orang Islam dalam gereja terbabit. Malah 13 pegawai penguatkuasa Jais dan 20 polis menunggu 25 minit sebelum dewan
gereja itu dibuka,” Dr Dzulkhaini dipetik sebagai berkata.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata isu itu perkara serius kerana membabitkan akidah umat Islam, berbanding kes khalwat yang membabitkan individu dan wajar diistilahkan sebagai ‘serbuan’.

“Saya juga mendapat maklumat daripada Jais bahawa isu seperti ini bukannya baru di Selangor dan sudah dipantau oleh Jais sejak tiga hingga empat tahun kebelakangan ini apabila isu murtad ditimbulkan,” katanya.

Enakmen (Enakmen Ugama Bukan Islam) jelas menyatakan orang bukan Islam adalah dilarang menggunakan perkataan termasuk ‘Alhamdulillah’ dan ‘Allahuakbar’, katanya.

Semalam, 45 NGO Islam menghantar memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Jais dan meminta Sultan campur tangan dalam isu itu.

Kumpulan itu juga mendesak kerajaan Selangor tidak campur tangan hal ehwal agama Islam dan pentadbirannya kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) selaras dengan Seksyen 6 Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Rabu lepas Paderi Kanan gereja itu Daniel Ho dilapor berkata majlis makan malam terbabit dianjurkan atas semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti, sebuah NGO yang menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan
memerlukan.

– Bernama