Sindiket curi pondok telefon awam tumpas

Sindiket curi pondok telefon awam tumpas

Polis Selangor menumpaskan satu sindiket mencuri pondok telefon awam dengan tertangkapnya lima suspek dalam serbuan ke atas sebuah kedai barangan lusuh berlesen di Bandar Baru Bukit Beruntung.

Polis Selangor menumpaskan satu sindiket mencuri pondok telefon awam dengan tertangkapnya lima suspek dalam serbuan ke atas sebuah kedai barangan lusuh berlesen di Bandar Baru Bukit Beruntung.

Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah berkata kelima-kelima lelaki rakyat tempatan berumur antara 20 hingga 40 tahun ditahan pada pukul 6.05 petang pada 26 Julai lepas.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 14 pondok telefon dan 50 gagang telefon berwarna merah, sebuah lori dan sebuah kereta Proton Satria, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pondok telefon awam yang dicuri itu dianggarkan bernilai RM960,000, katanya. Tun Hisan berkata siasatan mendapati sindiket itu bukan sahaja melakukan perbuatan itu di Selangor tetapi juga di beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang, Perak, dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata kes kecurian pondok telefon awam di Selangor dikesan berlaku di Seri Kembangan, Bangi, Serdang, Ampang dan Balakong.

Beliau berkata selain mencuri duit siling di dalam peti telefon, mereka juga menjual bahagian-bahagian logam yang berharga pada pondok telefon.

Katanya kelima-lima suspek, salah seorang daripadanya pemilik kedai barangan lusuh itu ditahan reman sehingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Tun Hisan juga berkata polis memberkas dua lelaki tempatan masing-masing di Rasa dan Taman Tun Perak di Rawang pada 4 Ogos lepas bagi membantu siasatan kes kecurian tembaga di pencawang Tenaga Nasional Bhd di Bukit Sentosa, Sungai Choh dan Bukit Beruntung pada 2 Ogos lepas.

“Sebuah (kereta) Proton Iswara dan “bus bar” iaitu logam tembaga yang bernilai RM30,000 dirampas daripada kedua-dua pemuda berumur 22 tahun itu yang kini ditahan reman sehingga esok dan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun
Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

– Bernama