Polis tahan perunding kejuruteraan kerana jual mercun

Mercun Bola

Polis menahan seorang perunding kejuruteraan semalam apabila didapati menjual pelbagai jenis mercun dan bunga api di premis kediamannya di Taman Kemajuan.

Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan selepas polis menyerbu premis itu pukul 5.15 petang semalam serta merampas 31 jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM3,000.

Beliau berkata berdasarkan maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar melakukan pemantauan di kawasan berkenaan dan semasa serbuan dilakukan, polis menemui bahan letupan itu termasuk mercun roket dan mercun bola di bahagian dapur serta bilik tidur.

“Bahagian dapur disusun dengan mercun dan bunga api ala ‘show room’ dan pelanggan boleh memilih untuk membelinya,” kata Zull Aznam dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Katanya polis telah mendapat perintah untuk menahan reman lelaki itu selama empat hari dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata rampasan mercun dan bunga api itu adalah kes pertama pada bulan Ramadan ini dan polis akan terus memperhebatkan gerakan bagi memastikan kegiatan seumpama itu dapat dibanteras.

Zull Aznam percaya kesemua mercun dan bunga api itu dibawa masuk dari negara jiran sebelum dipasarkan di sini sejak awal Ramadan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak bermain mercun, bunga api atau meriam buluh pada bulan Ramadan kerana ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi juga membahayakan orang lain.

“Kami telah menubuhkan unit khas untuk membuat pemantauan di semua lokasi termasuk taman perumahan dan tempat awam bagi memastikan tiada kegiatan seumpama itu dilakukan,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut berharap orang ramai termasuk pemimpin masyarakat memberi maklumat kepada polis jika terdapat kegiatan bermain mercun dan bunga api di kawasan mereka.

Ini kerana, katanya polis tidak pernah mengeluarkan sebarang permit yang membenarkan kegiatan pembakaran mercun dan bunga api.

– Bernama