Timbalan pengarah Jabatan Veterinar Perak ditemui mati di rumah

Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Dr Rohani Kassim, 38, ditemui mati di rumahnya di Tambun pagi ini yang disifatkan oleh polis sebagai mempunyai unsur jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Dzuraidi Ibrahim berkata, mayat wanita itu ditemui pada 3 pagi tadi dan dimaklumkan kepada polis oleh pengawal keselamatan di kawasan perumahan eksklusif itu.

Rohani, yang masih bujang, dipercayai tinggal bersendirian di rumah itu.

Dzuraidi berkata polis masih menunggu laporan bedah dari Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mengetahui punca kematian.

Menteri Besar Dr Zambry Abdul Kadir dan anggota exco kerajaan negeri, Mah Hang Soon, menziarahi keluarga Rohani di bilik mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun pada 11.30 pagi tadi bagi mengucapkan takziah kepada keluarga Rohani.

Zambry juga menyampaikan sumbangan kerajaan kepada keluarga Allahyarham.

– Bernama