Proton laksanakan bengkel CSR untuk 50 ibu tunggal

Image by BirkFoto

Ibu tunggal bukan sahaja perlu lebih berdikari tetapi juga perlu meneroka cara-cara untuk meneruskan kehidupan.

Sementara ada yang berjaya menemui lembaran baru kehidupan, ramai juga yang hidup terkapai-kapai sebagai ibu tunggal.

Menyedari hakikat ini Proton, menerusi bengkel “Persona Empowerment” yang merupakan program tanggungjawab korporat sosial (CSR) syarikat pembuat kereta nasional itu, mempertemukan 50 orang ibu tunggal dari seluruh negara dan berlainan latar belakang.

Mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti untuk membina keyakinan dan memperkasa diri dengan pengetahuan.

Beberapa penceramah dan pakar turut dijemput memberi ceramah serta panduan mengenai keperluan kehidupan ibu tunggal.

Bengkel ini juga bertindak sebagai satu platform perkongsian pengalaman, pembelajaran dan memotivasi antara satu sama lain.

Juruhebah Radio Suria FM Roslina Abdul Majid, ataupun lebih dikenali sebagai DJ Lin dipilih sebagai duta Proton bagi program ini.

DJ Lin yang juga bergelar ibu tunggal sejak lima tahun lepas dipilih untuk menyuntik semangat kepada ibu tunggal yang lain.

Dimulakan dengan segmen berkongsi cerita suka dan duka, kebanyakan peserta beranggapan ia umpama terapi, serba sedikit dapat mengurangkan beban, keresahan dan mengubat hati yang luka.

Lin, ibu kepada empat cahaya mata berusia 2 hingga 8 tahun itu, meluahkan segala keresahan dan masalah yang membelenggu kehidupannya selama ini.

“Menerusi bengkel ini saya dapat maklumat akan cara untuk menyelesaikan masalah memperoleh status atau bukti yang menyatakan saya sudah bercerai kerana perkahwinan saya dahulu tidak didaftarkan kerana berkahwin di Siam,” katanya.

Sementara itu Noor, 37, wanita berketurunan Punjabi yang memeluk Islam pada 2001, yang menjadi ibu tunggal sejak tiga bulan lepas pula berasa tenang dan lega kerana sekurang-kurangnya dapat meluahkan segala kepayahan dan keresahan selama ini dan berkongsi dengan wanita senasib dengannya.

“Bekas suami pertama seorang guru silat selalu memukul saya. Kemuncaknya apabila bekas suami menendang perut ketika saya mengandung menyebabkan anak dalam kandungan meninggal dunia. Perkahwinan kedua dengan seorang warga Pakistan, sekali lagi saya menjadi mangsa dera,” katanya.

BERKONGSI TIP

Peserta turut teruja bila berpeluang berkongsi tips kejayaan daripada ibu tunggal yang sebelum ini mengharungi pelbagai kepayahan dan pahit getir untuk bangkit semula.

Sebelum penceraian Haniza Razaif memiliki perniagaan restoran makanan yang berjaya di Sabah tetapi kerana tekanan yang dialaminya selepas ditinggalkan suami menyebabkannya terpaksa menjual perniagaan dan rumahnya.

“Sebab dah biasa menjadi bos sebelum ini, sukar baginya untuk menerima kenyataan terpaksa mula dari bawah kembali, cuba mendapatkan pekerjaan, sebanyak 60 permohonan dihantar satu pun tidak menerima balasan,” katanya.

“Penting untuk ibu tunggal mengenalpasti diri sendiri, sedia berbincang bersama anak dan saudara terdekat jangan sisihkan diri. Mengambil berat mengenai kesihatan diri jangan biarkan status ibu tunggal membuatkan diri kita tertekan,” katanya yang kini menjadi usahawan berjaya.

MENTOR DAN PROTEGE

Tiga ibu tunggal turut dipilih sebagai protege kepada DJ Lin yang bertindak sebagai mentor untuk memberi bimbingan dan bantuan memajukan diri.

Rokiah Awang, 39, beranggap pemilihannya adalah satu peluang keemasan dan akan digunakan sebaik mungkin untuk merealisasikan hasrat membuka kedai runcit dan berniaga makanan kering.

Ibu kepada lima anak itu dan baru tiga bulan bergelar ibu tunggal merasakan dengan adanya perniagaan nanti beliau akan dapat membuktikan kepada bekas suami yang dirinya juga boleh berjaya.

Bagi Nursyuhada Abdullah pula sebagai seorang saudara baru beliau berharap bantuan Proton akan memberikannya ruang dan peluang untuk mendalami lagi ajaran Islam selain dapat merayakan Aidilfitri tahun ini dengan lebih ceria.

Norarsikin Ma’akim, 39, yang bergelar ibu tunggal sejak sembilan tahun lepas berharap program itu akan menjadikannya lebih berkeyakinan apabila berdepan dengan orang ramai dalam menjalankan tugasnya sebagai setiausaha.

Beliau turut menyimpan hasrat membabitkan diri dalam bidang penyiaran sebagai tugasan sambilan dan menulis buku berdasarkan pengalamannya mengharungi hidup sebagai ibu tunggal, kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Bengkel dua hari itu turut memberi peluang kepada ibu tunggal untuk mengikuti kursus mendapatkan lesen kereta secara percuma.

— Bernama