Pos Malaysia tawar kadar rata 50 sen bagi kad ucapan perayaan

Pos Malaysia tawar kadar rata 50 sen bagi kad ucapan perayaan

Pada kadar promosi 50 sen sahaja, rakyat Malaysia boleh menghantar kad ucapan perayaan pelbagai saiz dengan berat
tidak melebihi 50 gram ke seluruh destinasi di Malaysia.

Pada kadar promosi 50 sen sahaja, rakyat Malaysia boleh menghantar kad ucapan perayaan pelbagai saiz dengan berat
tidak melebihi 50 gram ke seluruh destinasi di Malaysia.

Pos Malaysia telah melancarkan satu kadar rata bagi pengeposan kad ucapan perayaan utama di Malaysia iaitu, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina di negara ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Berhad Syed Faisal Albar berkata kemudahan Teknologi Informasi dan Komunikasi pada masa ini seperti mel elektronik, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan kad elektronik menyebabkan ramai rakyat Malaysia memilih alternatif ini.

“Namun masih ramai lagi yang menghargai sentuhan peribadi apabila menghantar ucapan melalui kad-kad ucapan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya kadar promosi ini bermula pada 1 Ogos tahun ini sehingga 31 Jan tahun depan.

Dengan promosi satu kadar rata ini, beliau berharap dapat menggalakkan lagi rakyat Malaysia menghantar kad ucapan melalui Pos Malaysia.

“Selain itu, kadar rata ini juga bagi menyokong industri percetakan tempatan kerana lebih ramai rakyat Malaysia yang menghantar kad ucapan secara fizikal,” katanya.

Kadar istimewa tersebut membolehkan rakyat Malaysia menghantar lebih banyak kad ucapan perayaan kepada rakan dan keluarga semasa musim perayaan dengan kadar yang lebih murah dari biasa.

Promosi ini hanya dijalankan di dalam negara sahaja dan bagi kad ucapan ke destinasi antarabangsa di luar negara kadar pengeposan adalah mengikut caj biasa sama ada mengikut penghantaran laut atau udara.

Bagi memastikan kad ucapan Hari Raya Aidilfitri sampai tepat pada masanya pelanggan Pos Malaysia dinasihati mengepos kad ucapan mereka pada atau sebelum 24 Ogos ini.

– Bernama