Komen: Cuepacs masuk kumpulan boikot AirAsia

KOMEN – CUEPACS termakan taktik perkauman dan jadikan alasan lain untuk turut terlibat dalam boikot anjuran Utusan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X ,Azran Osman Rani
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X ,Azran Osman Rani

Rakyat Malaysia dikejutkan dengan tindakan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman yang menggesa kakitangan awam seluruh negara memboikot perkhidmatan penerbangan Air Asia.

Gesaan yang berpunca dari tulisan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Azran Osman Rani di ruang Facebook beliau telah menyebabkan Omar menyertai Utusan Malaysia dan juga veteran UMNO dalam memboikot produk AirAsia.

Azran menyatakan pendirianya di laman Facebook dengan menulis , ‘I am Malaysian. I am anti-racism. I am disgusted by Utusan‘s editorial stands’ (“Saya rakyat Malaysia. Saya anti perkauman . Saya meluat dengan pendirian editorial Utusan”).

Azran juga dikatakan telah menarik balik semua iklan AirAsia X di Utusan Malaysia dan menyatakan bahawa Utusan sudah lama tidak relevan. Jumlah pembaca semakin merosot kerana minda pengarang sempit. Utusan juga tidak mewakili Melayu Malaysia.

Mungkin dari kenyataan ini, Cuepacs telah diperbodohkan untuk menyertai boikot yang dikepalai oleh Utusan Malaysia itu .

Sebagai sebuah kesatuan sekerja, CUEPACS sepatutnya tidak termakan dengan taktik perkauman dan menjadikan alasan lain seperti AirAsia mendapat banyak rungutan dari orang ramai dari segi perkhidmatan untuk turut terlibat dalam boikot anjuran Utusan Malaysia itu.

Dua dari kiri - Presiden CUEPACS Datuk Omar Osma
Dua dari kiri – Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman

Cuepacs sepatutnya sebagai kesatuan sekerja yang mewakili perkhidmatan awam yang dianggotai berbilang bangsa tidak bertindak demikian dan tunduk kepada organisasi yang tidak bertanggungjawab seperti Utusan Malaysia.

Malah secara tidak langsung Cuepacs telah sedikit sebanyak menjadi penyumbang kegagalan kepada hasrat murni Perdana Menteri kita dalam rekonsiliasi nasional atau 1 Malaysia yang dicadangkan beliau sejurus selepas keputusan PRU 13 baru-baru ini.

Perbuatan tidak bertanggungjawab kempen perkauman yang dimulakan oleh Utusan Malaysia dengan menjadikan kaum Cina sebagai ‘kambing hitam’ dalam menyembunyikan kegagalan kerajaan Barisan Nasional mendapat sebahagian besar undi kaum Melayu dan golongan muda di kawasan bandar sekaligus memberikan 51 peratus undi popular kepada Pakatan Rakyat adalah sangat tidak wajar dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam kenyataan akhbarnya hari ini mendesak agar Menteri Usahawan Tempatan dan Hal Ehwal Pengguna yang baru Datuk Hasan Malek tidak mempertahankan boikot yang mempunyai agenda perkauman yang sempit dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang bersifat rasis ini.

Menurut beliau lagi Persatuan Peniaga Melayu dan Cina juga telah menyatakan rasa tidak senang mereka dan berharap agar kerajaan dapat campur tangan dalam hal ini agar tidak terus berleluasa.

Secara berasingan juga mereka telah menyifatkan boikot yang mempunyai unsur perkauman ini sebagai tidak sihat, kebudak budakan dan rasis.

Avatar photo

Imran Hilmy

is born and raised in Penang Island and throughout of his younger days has a knack of lyrics and poem writings.Loves to read on history, politics and religions. He believes that he has a role in making this world a better place through his capacity as a Citizen Journalist in CJ.MY.