Surat: Persatuan Malabari membantah cadangan Kimma

Surat: Persatuan Malabari membantah cadangan Kimma

Surat terbuka ini dikarangkan khas untuk penjelasan, maklumbalas dan bantahan terhadap keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 Julai 2011 dan Kenyataan Media Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Kebangsaan berhubung isu penyeragaman bangsa sebagai India Muslim bertarikh 28 Julai 2011.

Kepada YB Senator Syed Ibrahim bin Kader Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma)

Surat terbuka ini dikarangkan khas untuk penjelasan, maklumbalas dan bantahan terhadap keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 18 Julai 2011 dan Kenyataan Media Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Kebangsaan berhubung Isu Penyeragaman Bangsa sebagai India Muslim bertarikh 28 Julai 2011.

Permohonan Kimma untuk menyeragamkan status keturunan di dalam sijil kelahiran dengan mencatatkannya sebagai India Muslim berbanding seperti sekarang yang mempunyai pelbagai variasi seperti Melayu, India, India
Muslim, Tamil Muslim dan Malabari adalah dibantah oleh hampir keseluruhan masyarakat Malabari yang berada di Malaysia.

Usaha Kimma untuk membantu masyarakat India Muslim dari segi Pendidikan,Kebajikan, Keperluan Belia dan sebagainya disokong sepenuhnya tanpa mengubah status keturunan Malabaru dalam sijil kelahiran.

Sebagai sebuah parti politik yang mewakili kaum India Muslim adalah menjadi hak dan tanggungjawab Kimma untuk  memperjuangkan hak India Muslim dan etnik-etnik atau keturunan lain di negara ini yang datangnya dari India.

Kimma seharusnya ikhlas dalam melaksanakan hal ini,dan tidak wajar untuk mengubah keturunan Malabari yang berada dalam sijil Kelahiran.

Maklumat yang diperolehi dari Jabatan Perangkaan Malaysia, Definasi Kumpulan Etnik ialah :

“Sekumpulan orang yang terikat bersama-sama oleh hubungan bahasa, adat resam, agama yang sama dan sebagainya”.

India merupakan Bangsa dan kumpulan etnik (keturunan) dibawah bangsa india adalah seperti India muslim, Malabari, Malayali, Punjabi (kecuali Sikh), Sikh, Sinhala, Tamil India, Tamil Sri Langka, Telegu/Telugu dan lain-lain.

Hal ini dengan jelas menunjukkan India Muslim dan Malabari merupakan satu etnik yang berlainan tetapi berada dalam kategori dan peringkat atau level yang sama iaitu etnik.

Penyeragaman kepada India muslim boleh dilihat kepada penghapusan etnik yang lain iaitu ( Malabari dalam kes ini ) dalam ruangan Keturunan di Sijil Kelahiran.

Warga Malabari yakin majoriti warga India muslim tidak akan bersetuju jika etnik India Muslim di hapuskan dan di tukar kepada Malabari atau Sikh atau yang lain-lain dalam ruangan keturunan di sijil kelahiran sebab india muslim juga merupakan satu etnik dan mereka pasti akan mempertahankannya.

“Wahai umat manusia, sesungguhnya kami meciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan kami menjadikan kamu daripada berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain).Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih berketurunan atau bangsanya). Sesungguhny Allah maha mengetahui lagi mendalam pengetahuannya (tentang keadaan dan amalan kamu).”

~ Surah al-Hujurat, ayat 13

Kami ( Group Facebook Malaysian Malabari ) dengan jelas dan tegas menyatakan bahawa kami sedikit pun tidak memusuhi atau mahu melakukan perpecahan dikalangan masyarakat kita memandang selama berabad lamanya tiada apa-apa masalah yang timbul dari isu ini sehinggalah YB Senator Dato menyatakan permohonan untuk menyeragamkan bangsa atau keturunan malabari kepada India muslim.

Kami juga dengan jelas dan tegas menyatakan kami tidak minta Kimma menghentikan atau memusuhi warga malabari di Malaysia dari diberikan bantuan atau perkara-perkara lain yang menjadi perjuangan Kimma yang
mana dan sepatutnya peruntukkan yang sewajarnya kaum malabari terima.

Kami juga tidak nafikan bantuan-bantuan yang masyarakat malabari terima dari Kimma sebelum ini. Akan tetapi, kadang kala Kimma juga ada membuat kesilapan yang tidak lari dari lumrah.

Maklumat yang diterima dari ahli kami menyatakan satu kes atau kejadian dimana, baru-baru ini Kimma ada membuat satu program yang diberi tajuk Majlis Perjumpaan Senator Syed Ibrahim Pemimpin NGO,Masjid,Madrasah,Surau India
Muslim dan Anugerah kecemerlangan Pelajaran 2011 yang berlangsung di Bangunan Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 23 Julai 2011.

Dua NGO dan satu Surau milik Malabari diberi surat jemputan untuk program ini pada minit terakhir iaitu dua hari sebelum program ini dan yang mana hanya wakil dari NGO dan surau ini sahaja dijemput manakala tiada hak mengemukakan atau membawa pelajar cemerlang untuk menerima anugerah di program tersebut atas alasan Kimma telah ‘Finalize’ senarai pelajar.

Hal ini dengan jelas menunjukkan Kimma meminggirkan pelajar malabari untuk diberi anugerah dan perkara ini berlaku ketika cadangan atau permohonan Kimma untuk penyeragaman keturunan kepada india muslim belum dilaksanakan.Apa pula akan terjadi jika penyeragaman tersebut telah dilaksanakan satu masa nanti?

Pada Perhimpunan Agong Umno yang lepas, Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak dengan jelas mengiktiraf
bangsa Malabari dalam ucapan beliau. Hal ini juga harus dititik beratkan oleh Kimma agar membatalkan hasrat penyeragaman Bangsa atau keturunan kepada India Muslim memandangkan jika dilihat di group facebook Malaysian
Malabari, rata-rata ramai juga ahli-ahli Kimma dan Umno membantah cadangan kimma tersebut.

Kami berpendapat, melalui‘Skuad Jom Daftar’ yang dilancarkan oleh Kimma baru-baru ini, kami yakin objektif Skuad
Jom Daftar mampu tercapai dengan jayanya tanpa mengubah keturunan malabari kepada IndiaMuslim.

Bak kata pepatah melayu : “Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih”

Untuk makluman pihak YB Senator Dato, ada pihak sedang dalam proses mengintai isu ini untuk dijadikan antara topik ketika berkempen dan perjuangan mereka pada Pilihanraya Umum ke-13 yang bakal berlangsung tidak lama lagi yang mana hal ini akan memberi implikasi buruk dan sokongan kepada Kimma.

Dalam Kenyataan Media Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Kebangsaan berhubung Isu Penyeragaman Bangsa sebagai India Muslim bertarikh 28 Julai 2011 ada dinyatakan oleh pihak Senator iaitu,  adalah tidak wajar menggunakan media bagi tujuan menuntut penjelasan kerana ianya akan mengeruhkan lagi keadaan.

Kami berpendapat, Pihak Kimma juga tidak wajar menyatakan cadangan penyeragaman Bangsa Malabari kepada India Muslim melalui media (Utusan Malaysia) kerana sepatutnya pihak Kimma menanyakan atau usulkan dahulu perkara ini kepada persatuan-persatuan malabari yang berada di Malaysia seperti Persatuan Malabari Malaysia, Jemaah Malabar Muslim Negeri Johor, Kerala Muslim Jamaat Selangor dan Wilayah Persekutuan dan atau mungkin Group Facebook Malaysian Malabari yang mempunyai lebih dari dua ribu orang ahli yang mana 95% daripadanya adalah berketurunan
Malabari dan lain-lain persatuan malabari.

Kami ( Group Facebook Malaysian Malabari ) berharap agar kata putus dan surat jawapan kepada surat terbuka ini dan jawapan yang positif bagi kami dari pihak Kimma diperolehi dalam masa terdekat ini agar  kami hentikan dan tidak meneruskan hasrat dan bantahan ke peringkat yang lebih tinggi dengan kerjasama semua Persatuan, Surau dan Madrasah-madrasah milik masyarakat Malabari di Malaysia. Dan perlu dijelaskan disini bahawa perkara inibukan merupakan ugutan akan tetapi ianya hanya untuk menyatakan pendirian hampir keseluruhan masyarakat Malabari yang tidak bersetuju dengan cadangan Kimma untuk penyeragaman tersebut.

Akhir kata, kami berharap agar pihak Kimma dapat mempertimbangkan agar cadangan untuk penyeragaman bangsa kepada India muslim  dibatalkan sama sekali.

Yang Benar,
Group Facebook Malaysian Malabari