Polis Selangor perkenal aplikasi isyarat jeneyah melalui telefon pintar

Polis Selangor perkenal aplikasi isyarat jeneyah melalui telefon pintar

Polis Selangor akan memperkenalkan aplikasi isyarat jenayah melalui telefon pintar bagi mempercepatkan respons dan tindakan menahan penjenayah.

Polis Selangor akan memperkenalkan  aplikasi isyarat jenayah melalui telefon pintar bagi mempercepatkan respons dan tindakan menahan penjenayah.

Ketua Polis Selangor Tun Hisan Tun Hamzah berkata aplikasi berkenaan yang dikenali sebagai ‘My Distress’ berupaya memberikan isyarat kepada Bilik Gerakan Polis sekiranya berlaku kejadian jenayah, hanya dengan menekan butang (ikon) pada telefon pintar.

“Aplikasi yang pertama di Malaysia ini akan dilancarkan bulan depan dan kita akan terangkan lebih terperinci mengenai proses dan bagaimana ia boleh membantu orang ramai yang berdepan dengan penjenayah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata aplikasi tersebut membolehkan pengguna menetapkan beberapa  ikon untuk lokasi rumah, navigasi kenderaan dan tempat yang dirasakan perlu bagi memudahkan mereka menekannya sekiranya berlaku kejadian jenayah.

Katanya talian berkenaan akan dihubungkan terus dengan semua Bilik Gerakan Polis di lapan kawasan yang mencatatkan kadar jenayah tertinggi di Selangor iaitu Klang, Petaling Jaya, Ampang Jaya, Subang Jaya, Kajang, Gombak, Serdang dan Shah Alam.

See also  MRANTI proposes 4IR Tech for smallholder farmers

Tun Hisan berkata tindakan pantas akan diambil sebaik Bilik Gerakan mendapat isyarat kecemasan daripada pengguna dan menghantar maklumat seperti lokasi mereka kepada kereta peronda serta balai berhampiran.

Beliau optimis kadar jenayah mampu dikurangkan melalui aplikasi itu kerana ia memudahkan kedua-dua pihak iaitu orang awam serta polis menangani penjenayah.

“Kita telah mulakan projek perintis ini sejak Mac lepas bagi memantau kekurangan dan menambah baik aplikasi dalam usaha memastikan tujuan utama menghalang jenayah dari berlaku tercapai,” katanya.

Tun Hisan berkata bagi peringkat awal pelancarannya, aplikasi itu akan diberikan secara percuma kepada pengguna dan berkemungkinan caj RM1 sebulan dikenakan bermula tahun depan.

“Polis tidak mendapat sebarang keuntungan dari aplikasi ini sebaliknya ia diperkenalkan untuk memastikan keselamatan orang awam lebih terjamin dan caj yang dikenakan adalah untuk pengendali aplikasi berkenaan bagi tujuan proses
menambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

See also  MDEC strengthens Malaysia-Philippines tech collaboration

Tun Hisan juga berkata jenayah samun merupakan risiko utama yang sering dihadapi oleh pemandu teksi dan lori di Selangor di mana sehingga Jun lalu sebanyak 22 kes dicatat di seluruh negeri.

Sehubungan itu, beliau berkata pemandu teksi dan lori diharap dapat menggunakan  aplikasi My Distress dalam usaha memastikan keselamatan mereka lebih terjamin.

Pada majlis berasingan, katanya seramai 219 orang anggota Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) masih diperlukan di Selangor untuk membantu tugasan berkaitan keselamatan.

Beliau berkata daripada 665 orang PVR yang diperlukan di Selangor, 446 orang telah dilantik sehingga hari ini.

Pada majlis itu seramai 68 orang menerima lantikan sebagai Konstabel PVR Siri 1/2011.

– Bernama