PDRM perkenal sistem pengaduan polis online November ini

PDRM perkenal sistem pengaduan polis online November ini

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan memperkenalkan “Sistem Pengaduan Polis” (PRS) online November ini khusus bagi
meningkatkan keberkesanan sistem aduan trafik.

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan memperkenalkan “Sistem Pengaduan Polis” (PRS) online November ini khusus bagi
meningkatkan keberkesanan sistem aduan trafik.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata menerusi PRS, orang ramai boleh memperoleh maklum balas segera berhubung sesuatu kemalangan sejurus selepas laporan polis dibuat.

“Sistem ini dilihat bersifat mesra pengguna kerana mereka yang terlibat dalam kemalangan boleh membuat laporan terus di mana-mana balai polis di seluruh negara.

“Selepas itu, balai polis yang menerima laporan boleh membuat siasatan awal terlebih dahulu dan segala maklumat yang diperolehi akan dihantar ke balai polis yang terlibat dengan lokasi kemalangan itu,” katanya ketika ditemui pemberita
selepas merasmikan majlis penutupan Bengkel Pembangunan Aplikasi Siasatan Trafik di Awana Hotel dan Resort di sini, hari ini.

Khalid berkata sistem masa kini iaitu Sistem Pengaduan Kemalangan Jalan Raya Berkomputer (CARS) pula akan digunakan di balai-balai polis daerah sahaja.

Khalid berkata sistem PRS itu diperkenalkan setelah pihak berkuasa menerima pelbagai rungutan mengenai sistem aduan trafik sekarang termasuk berkaitan perbezaan pangkalan data.

“Kita sentiasa mengambil kira pandangan masyarakat terhadap apa sahaja kelemahan yang terdapat dalam institusi ini termasuklah sistem jaringan internet yang sepatutnya memudahkan orang ramai,” katanya.

Selain PRS, beliau berkata sistem pembayaran saman online juga akan ditingkatkan dari semasa ke semasa seiring dengan kemajuan teknologi pada masa ini.

Sementara itu, Khalid berkata polis meminta Suhardi Mat Isa, lelaki yang dikatakan berlakon sebagai Baharudin Ahmad yang meninggal dunia pada perhimpunan haram 9 Julai lepas, supaya tampil dalam membantu siasatan.

“Dipercayai beliau menyembunyikan diri, nasihat saya agar dia tampil bagi membantu polis dalam menyiasat dan kenapa dia perlu bersembunyi tanpa sebab.

Kita nak tahu kenapa dia lakukan perkara itu dan siapa suruh dia lakukan perkara itu,” katanya.

Gambar Suhardi, yang turut menyertai perhimpunan itu, dikatakan telah dimanipulasi sesetengah pihak dengan mendakwa dia adalah Baharudin yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

Bagaimanapun, PDRM dalam satu sesi tayangan video mengenai perhimpunan itu menjelaskan bahawa gambar Suhardi bukanlah individu sebenar Baharudin.

– Bernama