Enam syarikat bumiputera disenarai di bawah SJJB kerajaan

Enam syarikat Bumiputera, dengan gabungan permodalan pasaran hampir RM1 bilion, disenaraikan di Bursa Malaysia di
bawah Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) kerajaan, kata Timbalan Menteri Kewangan Dr Awang Adek Hussin.

Syarikat keenam ialah Prestariang Bhd yang memulakan dagangan sulung di Pasaran Ace hari ini.

“Kami mempunyai 20 syarikat dalam perancangan (untuk disenaraikan) dalam tempoh dua tahun akan datang. Kami boleh dapat kira-kira 10 syarikat pada akhir tahun ini dan pada 2010,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian Prestariang hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Prestariang Ramli Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Abu Hassan Ismail.

Awang Adek berkata baki syarikat yang akan disenaraikan di bawah skim itu terlibat dalam pelbagai sektor termasuk teknologi maklumat (IT), bioteknologi, pembuatan serta minyak dan gas.

Penyedia perkhidmatan teknologi komunikasi maklumat, Prestariang, memulakan dagangan sulung di Pasaran Ace pada diskaun setengah sen pada 89.5 sen berbanding harga tawaran 90 sen dengan 3.75 juta saham diniagakan.

Abu Hassan menjangka syarikat itu menggandakan nilai perolehan kontrak sebanyak RM145.29 juta pada akhir tahun, dengan projek-projek yang akan dilaksanakan sehingga 2014.

Mengenai rancangan Prestariang, beliau berkata syarikat tersebut berharap dapat menembusi Timur Tengah bagi meningkatkan jumlah pelanggannya dari rantau itu menerusi perjanjian perkongsian.

Kumpulan Modal Perdana Sdn Bhd, anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadan, memiliki kira-kira 10 peratus pegangan dalam Prestariang.

Ditubuhkan pada 2003, Prestariang menyediakan latihan ICT asas dan profesional serta pengedaran lesen perisian dan perkhidmatan pengurusan.

Ia menawarkan 40 kursus persijilan daripada pelbagai vendor perisian dan teknologi seperti Microsoft, IBM, Oracle, CompTIA, Autodesk dan Adobe.

– Bernama