Timbalan menteri: Kaum cina digalak hantar anak ke politeknik

Kaum Cina di negara ini harus menukar minda mereka dengan menghantar anak-anaknya mengikuti bidang kemahiran
di politeknik-politeknik yang ada di negara.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dr Hou Kok Chung berkata, kaum Cina jangan hanya memberikan tumpuan untuk menghantar anak-anak mereka belajar di universiti, tanpa memikirkan bidang kemahiran yang terdapat di politeknik.

“Kita dapati tidak sampai tiga peratus daripada 119,552 permohonan memasuki politeknik tahun ini daripada kaum Cina. Ini mungkin kerana mereka beranggapan politeknik merupakan pusat pembelajaran kelas kedua,” katanya ketika melawat
Politeknik Kuala Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata, Malaysia yang menuju negara maju pada 2020, memerlukan tenaga kerja mahir yang lebih ramai dan politeknik adalah salah satu landasan yang baik untuk melahirkan tenaga kerja mahir.

Katanya, peluang mendapat pekerjaan untuk lepasan politeknik amat cerah dan sesetengah daripada mereka boleh menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Hou berkata, ketika ini terdapat 30 buah politeknik di seluruh negara iaitu 27 buah politeknik konvensional manakala tiga buah politeknik metro.

Hou berkata kerajaan kini sedang memberi tumpuan untuk menubuhkan tujuh buah politeknik metro bagi menampung keperluan dalam bidang kemahiran.

“Sebuah politeknik yang serba lengkap ia memerlukan perbelanjaan sehingga RM200 juta berbanding hanya RM14 juta bagi membina sebuah Politeknik Metro yang juga mampu menyediakan tempat belajar yang baik,” katanya.

Beliau berkata pada pengambilan bulan lepas, sebanyak 46,846 tempat ditawarkan kepada pelajar untuk mengikuti pengajian di politeknik seluruh negara di mana hanya 3,076 daripada 119,552 permohonan adalah daripada kaum Cina dan 3,599 daripada kaum India.

Mengenai politeknik Kuala Terengganu, beliau berkata 50 peratus daripada 600 pelajar adalah dari luar Terengganu.

“Ada sedikit masalah timbul mengenai penginapan kerana kita tidak menyediakan asrama kepada pelajar. Bagaimanapun pihak politeknik cuba membantu pelajar yang memerlukan tempat tinggal,” katanya.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE