LPSP: Telur penyu yang dijual di Terengganu bukan dari negeri ini

Lembaga Penasihat Santuari Penyu  (LPSP) Terengganu menafikan dakwaan bahawa telur-telur penyu yang dijual di pasar-pasar di negeri ini adalah dari Terengganu.

Pengerusinya Mazlan Ngah berkata sebenarnya telur-telur penyu yang  dijual di pasar-pasar di negeri ini kebanyakkannya dari Sabah, Sarawak dan Filipina.

“Saya tidak nampak telur Terengganu ada dijual secara terbuka di pasar-pasar, tetapi kalau dijual secara sulit, tidak tahulah,” katanya hari ini.

Mazlan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata demikian sebagai  menjawab dakwaan sesetengah pihak kononnya kerajaan negeri membenarkan penjualan telur penyu Terengganu.

Beliau berkata buat masa ini semua pemajak yang diberikan lesen untuk  mengutip telur penyu di Terengganu digalakkan menjual telur kepada Jabatan Perikanan untuk dieramkan.

Beliau berkata kemasukan telur penyu dari luar terutamanya dari Sabah,  Sarawak dan Filipina ke negeri ini menyebab LPSP sukar untuk mengharamkan penjualan telur penyu.

Bagaimanapun, katanya pengharaman jualan telur penyu belimbing terus  dikekalkan.

Mazlan berkata kerajaan negeri sedang melihat beberapa kawasan pendaratan  penyu di negeri ini untuk diwartakan bagi tujuan menambahkan populasi penyu di  Terengganu pada masa akan datang.

Yang terbaru, beliau berkata kerajaan dalam proses mewartakan kawasan  Ma’daerah Kerteh, Kemaman sebagai santuari penyu.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE