Lelaki dakwa diri gila mengaku salah curi motosikal

Lelaki dakwa diri gila mengaku salah curi motosikal

“Saya tak tahu kenapa saya ambil, saya kan gila,” kata Noor Azlan dengan selamba mengaku salah ketika pertuduhan dibacakan sehingga kebanyakan orang awam di galeri mahkamah tidak dapat menahan ketawa.

“Ada suara yang suruh saya ambil motor itu, suara itu kata ambil motor itu,” demikian dakwa seorang lelaki ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Isnin atas dakwaan mencuri sebuah motosikal di Pasar Payang, di sini, Khamis lepas.

Noor Azlan Mohd, 43, yang berasal dari Kampung Gelugor Haji Tahir, di sini, yang dipercayai kurang siuman, juga berkata beliau tidak tahu kenapa dia mencuri motosikal itu.

“Saya tak tahu kenapa saya ambil, saya kan gila,” katanya dengan selamba mengaku salah ketika pertuduhan dibacakan sehingga kebanyakan orang awam di galeri mahkamah tidak dapat menahan ketawa.

Kata-kata tertuduh itu disambut Majistret Nor Azizah Mohd Yusof dengan berkata “orang gila tak cakap macam tu.”

Noor Azlan didakwa mencuri motosikal jenis Yamaha dengan nombor pendaftaran TAL 9237 milik Nor Anita M Nor, 26 pada pukul 4.45 petang, 21 Julai lepas di Pasar Payang, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda.

Ketika ditanya oleh Nor Azizah di mana dia tinggal dan sama ada anggota keluarga datang ke mahkamah untuk menjaminnya, Noor Azlan berkata dia tinggal di Kuala Lumpur, di Dungun, dan di Marang.

“Saya tinggal di Kolumpo (Kuala Lumpur), Dungun, Marang, semua ada, saya tak tahulah,” katanya.

Mendengar jawapan itu, majistret itu berkata beliau tidak akan merekodkan pengakuan salah tertuduh dan tertuduh akan dihantar ke Hospital Permai, Tampoi di Johor Baharu untuk penilaian psikiatri bagi memastikan dia layak dibicara atau tidak.

Nor Azizah menetapkan 24 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Insp V Ravi.

-Bernama