3,000 kerja kosong ditawarkan kepada penduduk Selangor

3,000 kerja kosong ditawarkan kepada penduduk Selangor

Kira-kira 3,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan kepada penduduk Selangor apabila fasa kedua kilang besi terbesar di negeri ini, Amsteel Megasteel di Kuala Langat dijangka siap tidak lama lagi.

Kira-kira 3,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan kepada penduduk Selangor apabila fasa kedua kilang besi terbesar di negeri ini, Amsteel Megasteel di Kuala Langat dijangka siap tidak lama lagi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata syarikat Lion Group selaku pemilik kilang besi itu menambah pelaburan sebanyak RM4 bilion lagi bagi membesarkan operasi yang akan menawarkan 3,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan dan negeri lain.

“Kilang besi ini telah melabur lebih RM7 bilion setakat ini dengan pekerja seramai 5,000 orang dan dengan tambahan pelaburan baharu, kilang Megasteel bakal mempunyai 8,000 pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis dialog bersama rakyat di Dewan Aim Point di Bandar Sungai Emas sempena Program Khas Mesra Rakyat peringkat daerah Kuala Langat, hari ini.

Khalid menegaskan rakyat tempatan khususnya akan mendapat manfaat besar dengan pembesaran kilang ini dan kerajaan negeri akan berusaha memastikan pekerja mahir tempatan diambil bekerja di kilang berkenaan.

Beliau berkata kemasukkan pelabur baru dan tambahan pelaburan oleh pelabur sedia ada membuktikan ekonomi negeri tidak terjejas walaupun bertukar kerajaan pemerintah.

“Usaha menarik pelaburan terus digiatkan dan Selangor masih berada dalam kelompok tiga teratas di kalangan negeri yang mencatatkan pelaburan tertinggi,” katanya.

Setakat April lalu, pelaburan di Selangor berjumlah RM3.194 billion menerusi 80 projek pelaburan dan menawarkan lebih 4,600 pekerjaan.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Ijok berkata rakyat Selangor perlu merebut peluang untuk menikmati hasil negeri menerusi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang telah memasuki fasa ketiga.

Menurutnya terbaru kerajaan negeri memperkenalkan program Jom Shopping yang memberi baucar beli belah bernilai RM100 kepada warga emas yang mendaftar dengan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Khalid berkata peruntukkan itu hasil keuntungan penjualan pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang dikembalikan semula kepada rakyat.

“Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat sahaja telah mencatatkan kutipan sebanyak RM4 juta untuk enam bulan pertama tahun ini berbanding sekitar RM400,000 setahun sebelum 2008,” katanya.