Pengajaran dan pembelajaran sains, teknologi dan matematik sedang dikaji

Satu kajian mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) sedang dilakukan bertujuan
mencari kaedah baru yang lebih praktikal dan berkesan dalam pengajaran mata pelajaran berkaitan di peringkat sekolah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Saifuddin Abdullah berkata kajian itu dilakukan oleh penyelidik daripada beberapa universiti tempatan.

“Kita menyedari kita menghadapi beberapa masalah berhubung mata pelajaran STEM ini di mana kita masih ketinggalan dalam bidang ini berbanding negara maju.

“Dan ada kelompok tertentu (pelajar) yang berhadapan dengan masalah prestasi dalam mata pelajaran berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri syarahan bertajuk “Decolonising History: Goodbye Euclid!” di Universiti Sains
Malaysia (USM), hari ini.

Katanya kajian itu akan mengenal pasti masalah yang dihadapi pelajar dalam pembelajaran mata pelajaran berkenaan dan kaedah menanganinya.

Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam bidang berkenaan selaras dengan hasrat Malaysia menjadi negara maju pada tahun 2020.

– Bernama