Polis tahan lelaki, rampas dadah di Kluang

Polis tahan lelaki, rampas dadah di Kluang

Polis menahan seorang lelaki dan merampas enam paket plastik lut sinar dadah disyaki heroin selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Kampung Paya, semalam.

Polis menahan seorang lelaki dan merampas enam paket plastik lut sinar dadah disyaki heroin selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Kampung Paya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Fawzi Arshad berkata lelaki tempatan berumur 52 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, kira-kira 2.30 petang selepas bertindak atas maklumat pengedaran dadah.

“Enam paket plastik lut sinar berisi dadah disyaki heroin seberat 33.6 gram itu ditemui di dalam lipatan kertas surat khabar di dalam genggaman tangan kanan lelaki berkenaan ketika polis membuat pemeriksaan pada tubuh badannya,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang, hari ini.

Beliau berkata suspek kini direman sehingga 28 Julai depan dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, Mohd Fawzi berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun dan merampas sejumlah dadah disyaki heroin dan syabu daripadanya di sebuah rumah di Taman Ria, Kahang, di sini, tiga hari
lepas.

Beliau berkata lelaki yang sudah berkahwin tetapi tidak bekerja itu ditahan pada 12.10 tengah hari, hasil maklumat orang awam.

“Pemeriksaan di dalam rumah itu menemui sebotol plastik lut sinar berisi dadah disyaki heroin seberat 13.9 gram, sembilan paket plastik lut sinar berisi dadah disyaki heroin seberat lima gram dan 14 paket plastik lut sinar berisi
dadah disyaki syabu seberat 3.7 gram yang diletakkan di atas sebuah meja,” katanya.

Katanya lelaki itu menerusi soal siasat memberitahu dadah berkenaan dibeli dari seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Laga’ di Johor Baharu dengan harga RM2,000.

Suspek yang mempunyai tiga rekod berkaitan dadah kini direman sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

– Bernama