Suruhanjaya dapati Teoh Beng Hock bunuh diri kerana soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan

Suruhanjaya dapati Teoh Beng Hock bunuh diri kerana soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan

Suruhanjaya itu juga mendapati pegawai-pegawai SPRM telah menjalankan soal siasat untuk mendapatkan pengakuan mendiang sebagai bukti agar Teoh boleh menjadi saksi kes penyelewangan yang membabitkan Ean Yong Hian Wah, anggota exco kerajaan Selangor.

Suruhanjaya Di-Raja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock mendapati kematian pembantu khas seorang anggota exco kerajaan negeri Selangor itu pada Julai 2009 adalah akibat membunuh diri berikutan sesi soal siasat oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan.

Suruhanjaya itu juga mendapati pegawai-pegawai SPRM telah menjalankan soal siasat untuk mendapatkan pengakuan mendiang sebagai bukti agar Teoh boleh menjadi saksi kes penyelewangan yang membabitkan Ean Yong Hian Wah, anggota exco kerajaan Selangor tersebut. Suruhanjaya mendapati bahawa pegawai-pegawai SPRM tiada niat dan tiada sebab untuk membunuh Teoh.

Keputusan itu terkandung dalam laporan setebal 124 muka surat suruhanjaya tersebut yang terdiri daripada lima anggota panel dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan tahun ini, antara lain untuk menyiasatpunca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues membuat keputusan terbuka berhubung kes berkenaan.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Suruhanjaya itu telah bersidang selama 50 hari mulai 14 Feb sehingga 10 Mei dan membabitkan 70 saksi di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini.

— Bernama