Bomba keluarkan 500 tong LPG dalam kebakaran

Bomba keluarkan 500 tong LPG dalam kebakaran

Anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa mengeluarkan lebih 500 tong gas petroleum cecair (LPG) dari sebuah premis yang terletak berhampiran tujuh buah rumah kedai yang terlibat dalam satu kebakaran di Lebuh Bakau, Sungai Pinang awal hari ini.

Anggota Bomba dan Penyelamat terpaksa mengeluarkan lebih 500 tong gas petroleum cecair (LPG) dari sebuah premis yang terletak berhampiran tujuh buah rumah kedai yang terlibat dalam satu kebakaran di Lebuh Bakau, Sungai Pinang awal hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohd Razam Taja Rahim berkata kesemua tong gas itu berjaya dikeluarkan daripada premis berkenaan yang terletak kira-kira 50 meter daripada kawasan kebakaran,
dengan bantuan orang ramai.

“Kebakaran itu berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi, ketika tiba api sedang marak dan sebagai langkah berjaga-jaga, kami terpaksa memindahkan tong gas yang berada di dalam kedai berkenaan untuk mengelak sebarang kejadian lebih buruk,”
katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata kebakaran yang melibatkan bengkel motosikal, bengkel kereta, kedai cat, kedai besi, kedai ekzos, kedai kayu dan rumah itu dipercayai berpunca daripada salah sebuah premis yang terletak di bahagian tengah deretan
premis-premis berkenaan.

Razam berkata anggota bomba pada mulanya menghadapi kesukaran untuk memadam kebakaran disebabkan struktur binaan bangunan yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak dan merebak dengan pantas selain turut mengalami masalah  tekanan air.

Razam berkata 85 anggota dengan lapan jentera bomba termasuk lapan pasukan bomba sukarela bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.31 pagi, dan dapat mengawal kebakaran kira-kira 15 minit
kemudian sebelum dipadamkan sepenuhnya pukul 3 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang bertindak pantas membantu pihak bomba memindahkan tong gas pada kejadian pagi tadi,” katanya.

– Bernama