Polis lupus VCD, DVD cetak rompak bernilai RM2.7 juta

Polis lupus VCD, DVD cetak rompak bernilai RM2.7 juta

Polis melupuskan 430,113 keping cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak termasuk 16,272 keping DVD/VCD lucah bernilai lebih RM2.7 juta.

Polis melupuskan 430,113 keping cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak termasuk 16,272 keping DVD/VCD lucah bernilai lebih RM2.7 juta.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Abdul Rahim Jaafar berkata kesemua VCD dan DVD cetak rompak itu dirampas dalam operasi cetak rompak yang dikenali “Ops Ostrich”.

“Daripada jumlah ini, 413,841 keping adalah DVD/VCD yang tiada Sijil B di bawah Akta Penapisan Filem,” katanya kepada pemberita sebelum majlis Pelupusan VCD dan DVD yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri,
ACP Roslee Chik, hari ini.

Beliau berkata, sejumlah 261 operasi cetak rompak dilakukan di sekitar negeri ini mulai Julai tahun lepas sehingga akhir bulan lalu.

Katanya, berdasarkan jumlah itu juga menyebabkan kerajaan kehilangan hasil dalam bentuk cukai sebanyak RM3.8 juta daripada 30 peratus harga jualan produk tulen.

“Seramai 11 individu berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun, termasuk peniaga dan penjaga premis, telah disabitkan ke mahkamah tahun ini kerana menjalankan aktiviti haram berkenaan,” katanya.

Tambahnya, kebanyakkan sindiket DVD/VCD cetak rompak di Pulau Pinang ini melibatkan anggota kumpulan kongsi gelap yang diambil untuk menjaga premis dan gerai mereka.

Kebanyakan pengedar VCD dan DVD berkenaan, kata beliau menjalankan kegiatan secara tersembunyi dan mereka menggunakan pelbagai taktik untuk mengelirukan pihak berkuasa.

Abdul Rahim berkata tindakan pelupusan ini merupakan satu simbolik sebagai peringatan kepada mana-mana pihak agar tidak menjual atau membeli bahan terlarang tersebut.

“Tindakan penguatkuasaan berterusan akan diambil terhadap pengedar VCD/DVD haram mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

– Bernama