Kebakaran hutan gambut seluas 25 hektar berjaya dikawal

Kebakaran hutan tanah gambut seluas 25 hektar yang berlaku sejak seminggu lalu berjaya dikawal daripada merebak melalui kerjasama beberapa agensi dan jabatan terlibat di situ.

Ketua Penolong Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Shahrul Hazri Abd Majid berkata operasi itu turut dibantu oleh anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Pejabat Daerah Klang serta Jabatan Parit dan Saliran Daerah Klang.

Menurutnya operasi memadam kebakaran hutan tanah gambut itu bermula sejak 5 Julai lalu dan pemantauan sentiasa diadakan sehingga kini.

“Kebakaran yang berlaku telah menyebabkan masalah bau asap dan jerebu di sekitar Kampung Johan Setia, Bandar Puteri, Bandar Botanik, Bandar Putera dan sekitar Bukit Tinggi.

“Walaubagaimanapun, kita menempatkan 20 anggota dalam kerja pemadaman hutan untuk mengelak kebakaran merebak selain pemantauan udara oleh unit paraglider agensi penguatkuasaan itu bagi meninjau keadaan yang berlaku dari udara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahrul menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran secara terbuka bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang terutama dalam cuaca panas kini.

Menurutnya majlis menerima empat hingga enam aduan kebakaran dalam sehari dan pihaknya mengenalpasti ia dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjalankan penanaman sayur secara tradisional.