Program 3P di Sabah berjaya tempatkan 1,185 pencari kerja dengan majikan

Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah berjaya menempatkan seramai 1,185 orang pencari kerja dengan majikan pilihan
masing-masing melalui 13 Program  Penempatan Pekerja (3P) di seluruh Sabah setakat Julai tahun ini.

Penolong Kanan Pengarah Bahagian Pekerjaan dan Pendidikan Perburuhan JTK Sabah, Shaufi Miraj Datu Abdul Rahim berkata jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada 3,302 pencari kerja yang ditawarkan pekerjaan oleh 166 majikan yang menyertai program 3P berkenaan sepanjang tempoh tersebut.

“Daripada 3,302 pencari kerja yang ditawarkan pekerjaan berkenaan, seramai 2,117  daripada mereka belum melaporkan diri kepada majikan masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis 3P di sini hari ini.

Menurut Shaufi dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini sahaja, majikan daripada sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan yang menyertai program 3P anjuran JTK Sabah itu, menawarkan sebanyak 6,821 peluang pekerjaan.

Beliau berharap pencari kerja yang telah ditawarkan pekerjaan oleh majikan pilihan mereka supaya tidak mensia-siakan tawaran pekerjaan berkenaan dan segera melaporkan diri kepada majikan masing-masing.

“Banyak peluang pekerjaan untuk rakyat kita. Cuma kita mohon kepada pencari kerja supaya mengubah sikap dan tidak terlalu memilih sama ada dari segi jenis pekerjaan, tempat  kerja dan gaji,” katanya.

Shaufi juga berkata, selepas Hari Raya Aidilfitri, pihaknya akan menganjurkan program 3P, khusus untuk golongan yang tersenarai di bawah kelompok e-Kasih, yang kedua seumpamanya dilaksanakan JTK itu, untuk membantu golongan
tersebut keluar daripada kepompong kemiskinan.

Bagaimanapun katanya program 3P untuk e-Kasih yang akan dilaksanakan kali ini agak berbeza kerana selain menawarkan peluang pekerjaan, JTK juga akan menawarkan golongan tersebut kursus kemahiran percuma mengikut minat mereka.

Katanya bidang kemahiran yang bakal ditawarkan termasuklah masakan, pembuatan, kemahiran membaiki telefon bimbit, kecantikan dan andaman, lanskap dan makanan untuk jualan penjaja.

“Antara kawasan sasaran program ini termasuklah Pitas, Beluran, Kinabatangan, Keningau  dan Nabawan. Kita berharap golongan yang tersenarai dalam e-Kasih mengambil peluang ini  apabila kami berkunjung ke tempat mereka kelak,” katanya.

– Bernama