Kempen Jom Shopping warga emas akan dilancar esok

Kempen Jom Shopping warga emas akan dilancar esok

Letter: Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim akan melancarkan satu lagi program di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) khusus kepada warga emas yang dikenali sebagai ‘Jom Shopping’, di pasar raya besar Tesco, Kuala Selangor jam 3 petang esok.

  

Oleh Sekretariat Akhbar, Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor

Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim akan melancarkan satu lagi program di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) khusus kepada warga emas yang dikenali sebagai ‘Jom Shopping’.

Majlis pelancaran akan diadakan di pasar raya besar Tesco, Kuala Selangor jam 3 petang esok, 15 Julai 2011 (Jumaat).

Seramai 60 warga emas dari DUN Ijok diberi penghormatan untuk menyertai program ini pada hari perasmian. DUN Ijok dipilih kerana berjaya mendaftarkan perserta program tertinggi.

Program Jom Shopping ini adalah lanjutan dari Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang dilancarkan Jun 2008, selepas genap 100 hari Pakatan Rakyat membentuk kerajaan negeri.

SMUE diwujudkan untuk memberi manfaat kepada warga  Selangor berumur 60 tahun ke atas dalam bentuk Khairat Kematian berjumlah RM2,500 bagi setiap jenazah.

Bagi memberi peluang kepada warga emas yang masih hidup untuk menikmati hasil negeri, kerajaan negeri menyediakan dua kemudahan iaitu Skim Takaful dan yang terbaru Skim Baucer untuk beli belah atau Jom Shopping.

Warga emas yang mendaftar dengan SMUE akan menerima baucer bernilai RM100 untuk mereka membeli barangan keperluan di pasar raya terpilih yang memberi peluang mereka bersantai bersama ahli keluarga serta wakil rakyat.

Baucer ini diagihkan kepada semua Pusat Khidmat Masyarakat DUN di  seluruh negeri dan wakil rakyat akan menetapkan tarikh untuk membawa warga emas ini membeli belah.

Kerajaan Negeri berharap cara ini dapat memupuk sikap toleransi dan saling mengenali antara wakil rakyat Pakatan Rakyat, warga emas serta ahli keluarga mereka.

Untuk program Jom Shopping ini, Kerajaan Selangor memperuntukkan antara RM5 hingga RM10 juta berdasarkan keperluan semasa.

Kerajaan Selangor juga akan memperkenalkan beberapa lagi program kebajikan dalam bentuk dana untuk menggalakkan rakyat berdikari dan membina asas ekonomi yang kukuh untuk jangka masa panjang.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan memperuntukkan RM700 juta daripada anggaran Bajet 2012 berjumlah RM1.5 billion untuk program kebajikan. Jumlah ini  tidak termasuk RM100 juta yang akan diperuntukkan oleh Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).

Sebanyak RM30 juta daripada peruntukan MBI ini akan digunakan untuk aktiviti meningkatkan pendapatan keluarga dan keusahawanan seluruh Selangor manakala RM50 juta disalurkan kepada Mikro kredit Miskin Luar Bandar (SKIMSEL) dan RM20 juta Mikro Kredit Bandar (MIMBAR).