18 pekerja dari DRB-Hicom Pekan dipecat

Pekerja bersama ahli keluarga diperkarangan Pejabat PM

Seramai 18 pekerja Kumpulan DRB Hicom di Pekan, Pahang yang dipecat oleh syarikat mereka telah berhimpun bersama ahli keluarga mereka di perkarangan pejabat Perdana Menteri pada pukul 10 pagi bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan.

18 Pekerja telah dipecat

Pekerja-pekerja ini telah meluahkan rasa tidak puas hati berikutan pemecatan mereka dan memohon agar Perdana Menteri campurtangan dan memyelesaikan masalah ini.

Mereka berharap agar syarikat tersebut akan mengambil mereka berkhidmat semula tanpa hilang faedah dan pendapatan yang dinikmati sebagai pekerja dan rakyat Malaysia.

Adnan Zainun 42, telah berkhidmat selama 23 tahun mempunyai 5 orang anak

“Kami dipecat hanya kerana menunaikan tuntutan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk menyerahkan Manifesto Tuntutan MTUC bagi pilihanraya ke-13 pada 3hb Mei 2013 lalu di kawasan Parlimen Pekan kepada salah seorang wakil yang bakal bertanding,” Adnan Zainun,42, yang bekerja di syarikat ini selama 23 tahun.
“Malah kami melakukannya di luar waktu kerja. Apakah ini salah?”

Manakala Rusaini Ramli, 40, yang telah berkhidmat selama 18 tahun dan memegang jawatan Pengerusi MTUC Pahang pula menegaskan cara syarikat memecat mereka adalah amat kejam dan tidak adil.

Selepas siasatan dalaman dilakukan kami semua telah digantung kerja selama 85 hari (tiga bulan) dan selepas itu dibuang terus dari kerja pada 19hb Ogos 2013” katanya dengan kesal.

N Gopal Krishnam, Setiausaha Kesatuan NUTEAIW

Berucap dalam perhimpunan tersebut Setiausaha Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Perusahaan Alat-alat Pengangkutan dan Sekutu(NUTEAIW) Gopal Krishnam, berkata syarikat ini tidak membenarkan kami mewakili pekerja-pekerja dalam siasatan dalaman malah menyatakan bahawa tindakan pekerja-pekerja ini memberi imej busuk kepada nama syarikat adalah tidak munasabah langsung.

Tambah beliau, semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk bersuara dan menyertai mana-mana parti politik. Pemecatan seorang pekerja hanya boleh dilakukan atas alasan kerja bukan penglibatan dalam politik.

Beliau juga menyeru agar Perdana Menteri mengkaji perkara ini dan mengarahkan syarikat tersebut mengambil kembali pekerja-pekerja ini bekerja semula kerana ia akan memberi kesan buruk kepada mata pencarian 18 pekerja ini.

Pekerja-pekerja berhimpun diperkarangan Wisma DRB Hicom
Sejurus selepas menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri,  kesemua ahli kesatuan dan pekerja ini telah berhimpun di perkarangan Wisma DRB-Hicom Gleanmarie yang merupakan ibu pejabat kumpulan DRB-Hicom.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor dan Mantan Presiden MTUC, Senator Syed Shahir.

Akhbar The Star melaporkan bahawa DRB-Hicom Berhad menyatakan pemecatan 18 pekerja ini adalah berlandaskan undang-undang pekerjaan dan industri yang disedia ada.

Menurut kenyataan DRB-Hicom, pemecatan mereka bukan kerana penglibatan mereka dalam politik seperti yang diajukan oleh pekerja-pekerja tersebut atau pihak yang mewakili mereka.

 

  • 231
    Shares