Dua lelaki maut selepas bergaduh kerana enggan padam lampu bilik

Dua lelaki warga Vietnam maut manakala seorang lagi cedera setelah terlibat dalam pergaduhan di penempatan mereka di kawasan rumah kedai Jalan Orkid, Bukit Sentosa, Kuala Kubu Baharu awal pagi ini gara-gara tidak berpuashati dengan tindakan rakan sebilik yang enggan memadam lampu.

Insiden kira-kira 12.30 tengah malam tadi berlaku ketika empat rakan sebilik dikatakan mahu tidur di mana seorang daripada mereka berang kerana lampu bilik enggan dipadamkan lalu berlaku pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kubu Baharu Supt Norel Azmi Yahya berkata dalam pergaduhan itu, suspek yang berumur 28 tahun menikam tiga rakannya di mana dua daripadanya mati di tempat kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah.

Mangsa yang berumur 36 tahun mati akibat tikaman di bahagian perut manakala mangsa berumur 25 tahun mati akibat ditikam sebanyak tiga kali di dada selain terdapat kesan luka di tapak tangan kirinya.

Menurut Norel dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini, dua mangsa yang maut, merupakan pekerja di sebuah kilang tin makanan di Bukit Sentosa dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di Hospital Selayang.

Norel berkata berkata suspek melarikan diri selepas insiden pergaduhan itu  namun berjaya ditahan polis.

“Pisau yang digunakan untuk menikam mangsa turut ditunjukkan oleh suspek yang berada kira-kira dua Km dari tempat kejadian,” katanya.

– Bernama