Barangan diseludup bernilai RM2.8 juta dirampas Kastam

Barangan diseludup bernilai RM2.8 juta dirampas Kastam

Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas pelbagai barangan yang diseludup bernilai RM2.8 juta yang melibatkan cukai sebanyak RM7.3 juta dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merampas pelbagai barangan yang diseludup bernilai RM2.8 juta yang melibatkan cukai sebanyak RM7.3 juta dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Saadon Mohd Dros berkata nilai rampasan keseluruhan barangan diseludup untuk tahun 2010 pula ialah RM25.2 juta yang melibatkan jumlah cukai RM68.9 juta.

Antara barangan yang dirampas ialah minuman keras, rokok, tayar dan telefon bimbit, katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pasar Borong Selayang selepas melancarkan Kempen Mencegah Pengedaran Rokok Tidak Sah,
hari ini.

Menurutnya sempena kempen itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian Penguatkuasaan, Wilayah Persekutuan telah mengadakan operasi bersama agensi penguatkuasaan yang lain di sekitar Pasar Borong Selayang semalam.

Katanya di dalam operasi tersebut sebanyak 16 premis telah diperiksa disekitar kawasan itu dan hasil daripadanya lima orang ditahan kerana disyaki menyimpan rokok yang diseludup.

Nilai keseluruhan yang dirampas ialah RM2,550.28 dan melibatkan cukai sebanyak RM11,781.88, katanya.

Beliau berkata ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang-barang itu atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Rokok yang dirampas adalah pelbagai jenis rokok kretek seperti Nusantara, Gudang Garam Surya, Sampoerna dan pelbagai rokok putih seperti John, Canyon, Luffman dan June.

“Pemeriksaan menunjukkan bahawa pada kotak rokok tersebut tiada sebarang setem cukai mahupun dakwat keselamatan,” katanya.

– Bernama