Petrol dan diesel bernilai RM63,000 dirampas di Kedah

Petrol dan diesel bernilai RM63,000 dirampas di Kedah

Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kedah menahan empat lelaki dan merampas 34,000 liter diesel dan petrol subsidi bernilai RM63,000 dalam operasi di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam hari ini.

Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah menahan empat lelaki dan merampas 34,000 liter diesel dan petrol subsidi bernilai RM63,000 dalam operasi di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Shuhaimi Mat Sari berkata bertindak hasil maklumat awam, 10 anggotanya menyerbu tempat menyimpan minyak haram tersebut kira-kira pukul 10 pagi.

Hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menemui 11,000 minyak petrol dalam sebuah tangki bawah tanah dan 8,000 liter petrol dalam lori tangki serta 15,000 liter diesel dalam sebuah tong.

“Ketika serbuan dilakukan dua pekerja, pemilik tempat itu dan juga seorang pemandu lori, kesemuanya warga tempatan berusia 30-an sedang sibuk memindahkanminyak dari sebuah lori tangki dan pemiliknya juga dipercayai baru sahaja
selesai melakukan transaksi jual beli minyak (tidak dinyatakan petrol atau diesel) dengan pelanggan dari Thailand.

“Tempat ini baru sahaja enam bulan melakukan operasi dan hasil siasatan mendapati mereka mendapatkan petrol dan diesel dari stesen minyak sekitar Changlun dan Alor Setar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shuhaimi berkata pemilik itu juga mendakwa tempat ini baru dibina untuk dijadikan sebagai tempat simpanan minyak sementara sebelum dihantar ke negara jiran dengan cara yang sah.

“Bila kita periksa rekod KPDNKK, pemilik terbabit tidak mempunyai lesen yang sah untuk menyimpan petrol dan diesel ini,” katanya.

Suspek akan didakwa mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau tiga tahun penjara untuk individu atau kedua-duanya manakala syarikat pula didenda tidak melebihi
RM250,000.

– Bernama