Bayaran zakat fitrah di Pahang kekal RM7

Bayaran zakat fitrah di Pahang bagi tahun ini kekal RM7, kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Beliau berkata kadar itu ditetapkan selepas Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah memperkenan jumlah bayaran zakat itu.

“Ia merupakan tiga tahun berturut-turut bayaran zakat fitrah dikekalkan setelah mengambil kira kedudukan harga semasa segantang beras ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis cabutan bertuah pembayar potongan zakat berjadual, hari ini.

MUIP melantik seramai 950 orang amil bagi memudahkan umat Islam membayar zakat fitrah sepanjang Ramadan ini.

Wan Abdul Wahid berkata bayaran zakat boleh dibuat di masjid dan surau di seluruh negeri itu selain di kompleks membeli-belah yang turut menyediakan amil zakat.

Orang ramai juga boleh menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) melaluisyarikat telekomunikasi Celcom danĀ  Maxis untuk membayar zakat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata MUIP memperuntukkan RM1.7 juta iaitu RM5,000 bagi masjid negeri dan daerah manakala RM3,000 untuk masjid kariah bagi tujuan mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan.

– Bernama