Pelarasan harga pakej Astro, SKMM diminta jangan beri kebenaran

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta supaya tidak meluluskan permohonan stesen televisyen berbayar Astro untuk melakukan pelarasan harga terhadap pakej yang ditawarkannya kepada pengguna mulai 11 Julai ini.

Senator Mohd Najeeb Abdullah berkata ini kerana Astro mempunyai jumlah pelanggan yang tinggi dan memperoleh sumber kewangan yang tetap.

“Saya difahamkan Astro mempunyai pelanggan lebih tiga juta orang dengan jumlah keuntungan yang berjuta-juta ringgit. Ternyata keuntungan ini sudah cukup membuktikan Astro mampu menanggung kos operasi siaran mereka.

“Apabila stesen ini membuat pelarasan harga, ia akan mendatangkan bebanan baru kepada pengguna,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Negara. Sebelum ini Kabinet telah memutuskan bahawa Astro tidak boleh menaikkan
tarif perkhidmatannya selagi ia tidak mendapat kebenaran daripada SKMM.

Kabinet berpendapat Astro tidak wajar menaikkan sebarang tarif berkaitan perkhidmatan mereka. Mohd Najeeb berkata SKMM perlu memainkan peranan dan tanggungjawab penting dalam mengawal selia stesen tersebut agar tindakan mereka tidak membebankan rakyat.

“Melalui kawalan selia oleh SKMM, saya percaya pihak Astro tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan harga siaran bulanan mereka,” katanya.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE