PEMADAM Papar terima anugerah kecemerlangan daerah

Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Papar telah mencipta sejarah apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Pemadam (kategori daerah) di Perhimpunan Mesyuarat Agung Tahunan Pemadam Kebangsaan Ke-36, di Ayer Keroh, Melaka, pada 26 Jun lalu.

Dalam majlis tersebut, Pemadam Daerah Papar menerima sebuah plak penghargaan, sijil dan wang sebanyak RM 3000 yang disampaikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga Penaung Pemadam Negeri Melaka.

Pengerusi Pemadam Daerah Papar yang juga Pegawai Daerah, Iman Ali berkata Pemadam Papar telah menganjurkan program-program dan aktiviti yang paling banyak dalam masa setahun, iaitu lebih daripada 24 program dan telah mendapat perhatian Pemadam Kebangsaan, sehingga terpilih antara 1499 daerah seluruh negara, untuk dikurniakan anugerah.

“Anugerah Kecemerlangan yang diberikan kepada Pemadam Papar adalah berdasarkan prestasi dan pencapaian Pemadam Papar dalam lima tahun berturut-turut yang banyak menganjurkan program dan aktiviti seperti kursus dan karnival bagi memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya belia tentang bahaya penggunaan dadah,” katanya ketika ditemui di Program Damai (Dadah Akan Musnahkan Akan dan Iman) anjuran Pemadam Daerah Papar dengan kerjasama Persatuan Gabungan Belia Papar, di SMK Takis, dekat sini yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Turut hadir adalah Pegawai Pelajaran Daerah Papar, Abidin Marjan dan Penolong Pegawai Daerah, William Ahlan serta ahli jawatankuasa Pemadam Papar.