Serangan jantung, penghidap darah tinggi dan diabetes berisiko tinggi

Penghidap darah tinggi dan diabetes atau kencing manis berisiko tinggi diserang penyakit kardiovaskular yang juga lebih dikenali sebagai serangan jantung.

Pakar Jantung Kedah Medical Centre (KMC) Dr Abdul Rahim Tahir berkata ia merupakan ‘pembunuh dalam senyap’ yang menyerang pesakit diabetes dan darah tinggi selain punca utama lain penyakit jantung iaitu merokok.

“Selain perokok, kira-kira 30 peratus pesakit diabetes dan darah tinggi mengalami serangan jantung dan ia sangat merbahaya kerana dianggap sebagai pembunuh senyap.

“Kencing manis dan darah tinggi adalah antara punca utama penyempitan saluran darah yang boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular atau jantung,” katanya ketika menyampaikan ceramah mengenai penyakit kardiovaskular di KMC.

Beliau berkata antara gejala serangan sakit jantung ialah sakit dada, sukar bernafas, berdebar-debar serta bengkak kaki.

Dr Abdul Rahim berkata ujian saringan sangat penting bagi mengenalpasti penyakit kardiovaskular kerana ia kadangkala tidak menunjukkan sebarang simptom atau gejala.

“Tiada simptom tidak bermakna tiada penyakit, jadi dinasihatkan penghidap diabetes dan darah tinggi menjalankan screening (saringan).

“Walaupun ia memerlukan kos tapi lebih baik mencegah daripada merawat, kerana seperti mana yang kita semua tahu rawatan penyakit kardiovaskular sangat mahal dan apabila dikesan mengidapinya, pesakit perlu menjalani rawatan segera,” katanya.

Beliau berkata antara jenis saringan yang disyorkan ialah electrocardiogram (ECG) dan imbasan (scan) jantung bagi mengesan keadaan dinding organ berkenaan sama ada ia bocor atau tipis.

Dr Abdul Rahim berkata perokok perlu menghentikan segera tabiat itu kerana nikotin dalam rokok boleh menyebabkan bekalan oksigen ke jantung kurang, tekanan dan kepekatan darah naik serta merosakkan sel yang melindungi saluran darah.

“Ia bukan saja memberi kesan kepada perokok malah orang di sekelilingnya juga. Kajian membuktikan 24 jam selepas tidak merokok, karbon monoksida terhapusdalam badan dan paru-paru mula menyingkirkan sisa-sisa rokok yang lain,”
katanya.

Beliau berkata menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) padatahun 2002, 4 juta perokok mati akibatĀ  sakit jantung atau seorang daripada 10 lelaki dewasa setiap tahun dan pada 2030, WHO meramalkan jumlah berkenaan akan meningkat kepada seorang bagi setiap enam orang lelaki.

– Bernama