Pensyarah UKM gesa peserta perhimpunan 9 Julai bertaubat

Umat Islam yang ingin menyertai perhimpunan haram 9 Julai ini dinasihati segera bertaubat kerana perhimpunan itu
ditegah oleh Islam disebabkan ia hanya akan membawa kerosakan, kata ahli akademik Islam.

Menurut mereka, Islam tidak menggalakkan sebarang kekerasan, dan perhimpunan sebegitu walaupun dimulakan dengan aman, pasti akan berakhir dengan keganasan seperti yang berlaku sewaktu perhimpunan Reformasi 1998 dan Bersih 1.0 pada 2007.

Dr Fadlan Mohd Othman, Pensyarah Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata bahawa daripada kaca mata Islam, tidak ada sebarang dalil daripada Al-Quran yang membenarkan perhimpunan sebegitu dilakukan.

“Saranan kita kepada orang Islam yang sudah mendengar amaran daripada polis tapi masih lagi berniat nak pergi, batalkan niat tersebut kerana risikonya untuk enmembawa kepada kefasadan dan kerosakan adalah besar.

“Mengikut kaedah Feqah, sebarang jalan walaupun niatnya baik tetapi jika ia mempunyai kecenderungan untuk membawa kerosakan, maka jalan itu hendaklah ditutup,” katanya.

Fadlan berkata kenyataan Polis Diraja Malaysia bahawa perhimpunan sebegitu akan mendatangkan kemudaratan harus diambil kira.

“Apa yang disebut oleh polis merupakan satu benda yang telah diperhatikan dan kerosakan itu dapat kita lihat dalam demonstrasi haram yang pernah dijalankan sebelum ini,” katanya.

Beliau menggesa pihak penganjur dan peserta perhimpunan itu agar turut mengambil kira hak dan keselamatan orang awam yang tidak mahu terlibat.

Ahmad Fauzan Yahaya, Ketua Jabatan Pusat Pengajian Islam, Kolej Islam Antarabangsa, berkata umat Islam yang berniat menyertai perhimpunan itu perlu melakukan timbang tara terlebih dahulu.

Katanya sebagai umat Islam, mereka perlulah melihat sesuatu perkara yang lebih membawa kebaikan, sebaliknya jika keburukan melebihi segala-galanya termasuk bencana yang akan timbul daripada perhimpunan ini, mereka perlu
menghindarinya.

“Kalau dilihat daripada segi aspek perhimpunan ini, tak ada permit,berkumpul di jalan raya, provokasi dan memaki hamun, maka kebaikan itu lebih sikit daripada keburukan.

“Kita tak boleh bayangkan macam mana jika ada provokator dalamnya. Dulu sewaktu Bersih 1.0, bayangkan ada golongan Syiah sekali angkat bendera Pas dan gambar pemimpin Syiah Ayatollah Khomeini, sedangkan gerakan Syiah diharamkan di dalam Malaysia,” katanya.

Ahmad Fauzan berkata beliau hairan kenapa penganjur perhimpunan yang semakin terang didalangi parti-parti politik mengatakan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak telus.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE