Pusat zakat Melaka kutip RM13.79 juta

Pusat Zakat Melaka (PZM) mengutip zakat kira-kira RM13.79 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding RM12.84 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Yaakub Md Amin berkata zakat pendapatan mencatat kutipan tertinggi iaitu lebih RM5.79 juta diikuti zakat wang simpanan (RM3.79 juta), zakat perniagaan (RM3.32 juta), zakat saham (RM731,604.38), zakat emas (RM106,297.67), zakat padi (RM25,362.30) dan zakat ternakan (RM17,998).

Kutipan itu melibatkan 19,868 pembayar zakat dan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 7.93 peratus berbanding 18,408 pembayar tahun lepas, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan oleh agensi korporat yang diterima Yang Dipertua Negeri Melaka, Mohd Khalil Yaakob di pejabatnya di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau berkata zakat pendapatan melibatkan pembayar teramai iaitu 15,735 orang diikuti zakat wang simpanan (2,897 orang), zakat saham (535 orang), zakat perniagaan (332 orang), zakat emas (264 orang), zakat padi (84 orang) dan
selebihnya zakat ternakan.

Dalam tempoh lima bulan tahun ini (Januari hingga Mei), Majlis Agama Islam Melaka (Maim) telah mengagihkan zakat berjumlah RM11,133,675.39 kepada asnaf yang layak menerimanya.

Beliau berkata agihan itu menunjukkan penurunan sebanyak 5.82 peratus berbanding agihan berjumlah RM11,781,851.53 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Golongan fakir merupakan asnaf yang menerima agihan terbanyak iaitu RM4.58 juta diikuti fisabilillah (lebih RM2.96 juta), gharimin (orang yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi masalah diri, keluarga dan tanggungan atau masyarakat) (lebih RM1.89 juta), amil (lebih RM1.72 juta), muallaf (RM466,595.12), miskin (RM135,349.43) dan ibnu sabil (orang yang bermusafir dan jauh dari negaranya) (RM1,155.75).

Pada majlis itu, sebanyak empat agensi korporat yang beroperasi di Melaka menyerahkan zakat korporat mereka untuk tahun ini sebanyak RM53,281.96.

Agensi tersebut ialah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Koperasi Kerajaan Pegawai Negeri Melaka Berhad , Koperasi Bakti Melaka Berhad dan Koperasi Kasturi Melaka Berhad.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE