Sungai Klang bakal bertukar wajah

Hanya dengan mendengar namanya “Sungai Klang”, pasti ramai membayangkan akan warna airnya persis teh tarik serta
persekitarannya yang kotor.

Bayangkan pula jika Sungai Klang yang ketika ini bagaikan sudah tidak bernyawa lagi, berubah wajah dan bakal menjadi tempat bagi seisi keluarga beriadah dan pelbagai aktiviti diadakan di sekitar tebing sungai.

Ini yang dirancang pihak berkuasa di Kuala Lumpur, Datuk Bandar Kuala Lumpur Ahmad Fuad Ismail memberitahu bahawa Sungai Klang kini berada di bawah projek “River of Life” (RoL) atau Sungai Nadi Kehidupan, iaitu sebahagian daripada projek Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang (Greater KL/LK) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), yang mempunyai sebanyak sembilan projek permulaan (EPP).

Kerajaan memperuntuk sebanyak RM4 bilion untuk RoL. Projek yang bermula tahun ini sehingga 2020 akan memberi penekanan kepada tiga aspek penting  iaitu pembersihan sungai, pengindahan sungai dan pembangunan sungai.

Keadaan di Sungai Klang memang menyedihkan, kadar pencemarannya tinggi kerana sarat dengan sisa buangan pemilik rumah, pemilik perniagaan dan industri, sehingga mencacatkan pemandangan di ibu negara.

Malah air Sungai Klang tidak lagi sesuai untuk dirawat dijadikan sumber bekalan air. Sungai lain yang mengalir melalui bandar besar di Lembah Klang – Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Puchong, Klang dan Pelabuhan Klang pun lebih kurang
sama.

Mengulas lanjut mengenai aspek pembersihan sungai, Ahmad Fuad berkata agensikerajaan berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan  Perkhidmatan Pembentungan akan turut bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melaksanakan RoL.

Dan bukanlah mudah atau murah untuk membersihkan sungai sepanjang 110km itu. Matlamatnya ialah untuk meningkatkan kualiti air Sungai Klang yang ketika ini di kelas III ke tahap kelas IIb (sesuai untuk kegunaan rekreasi) menjelang tahun 2020.

Untuk kerja pembersihan sungai, peruntukan besar sebanyak RM3 bilion diperuntuk di bawah RoL.

Tidak hanya tertumpu kepada usaha pembersihan, tetapi projek ini turut merangkumi usaha pengindahan sungai dari Titiwangsa ke Brickfields yang akan dibahagi kepada 11 fasa melibatkan persekitaran Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Projek pengindahan itu dijangka melibatkan kos RM1 bilion. Bagi memastikan kerja pengindahan dan transformasi ini dilakukan secara komprehensif dan lestari, DBKL mengadakan Pertandingan Pelan Induk RoL di bawah Projek Greater KL/LK yang berakhir 15 Jun.

Lima syarikat perancang induk, tiga antarabangsa dan dua tempatan, disenarai pendek daripada keseluruhan 22
penyertaan.

Lima syarikat itu dikehendaki mengemukakan pelan induk yang komprehensif bagi 11 precinct sepanjang 10.7 km meliputi koridor Sungai Klang dan Sungai Gombak serta cadangan reka bentuk terperinci bagi Precint 1 (Titiwangsa) dan Precint 7 (Masjid Jamek).

“Apabila kualiti air sungai telah diperbaiki dan kawasan tepi sungai sudah cantik, orang ramai boleh bersiar-siar sambil menikmati keindahan sungai. Ia boleh jadi seperti satu tarikan rekreasi,” kata Ahmad Fuad.

Di samping itu, satu seminar dua hari tentang RoL akan diadakan bermula 4  Julai di Dewan Perdana Mestika, Institut DBKL Bandar Tun Razak, bertujuan memaklumkan kepada peserta seminar yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan,
badan profesional, institusi pendidikan dan wakil penduduk mengenai projek RoL ini.

Pameran juga turut berlangsung mulai 4 hingga 12 Julai di tempat yang sama dan orang ramai dijemput hadir untuk memberi pandangan terhadap pelan-pelan cadangan yang dikemukakan.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari laman web RoL iaitu www.riveroflife.com.my.BANTU

Ahmad Fuad menarik perhatian bahawa negara seperti Korea Selatan berjaya menjadikan sungai-sungainya sebagai tempat tarikan dan aktiviti, maka Sungai Klang diharap akan menjadi pusat pelbagai aktiviti ekonomi menerusi projek
“River of Life” ini.

“Dengan itu, kita boleh bangunkan Sungai Klang sebagai produk pelancongan. Contohnya, kita boleh buat water front restoran dan sebagainya,” katanya.

Selain membantu menjana ekonomi negara, Sungai Klang yang sudah dibangunkan dan diubah fungsi dan wajahnya akan sekali gus meningkatkan nilai tanah di sepanjang sungai itu.

Negara dan penduduk pastinya akan memperoleh banyak manfaat apabila Sungai Klang bertukar status menjadi kawasan yang subur, sejahtera dan hidup dengan pelbagai aktiviti.

– Bernama