Angkasa tetap bantah isu pemberian kod potongan gaji kepada bank

Angkasa tetap bantah isu pemberian kod potongan gaji kepada bank

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengulangi pendiriannya membantah isu pemberian kemudahan kod potongan gaji kakitangan kerajaan kepada bank-bank komersil dan institusi kewangan oleh Jabatan Akauntan Negara.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengulangi pendiriannya membantah isu pemberian kemudahan kod potongan gaji kakitangan kerajaan kepada bank-bank komersil dan institusi kewangan oleh Jabatan Akauntan Negara.

Presiden Angkasa Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata, apabila kod potongan gaji itu diberikan kepada bank-bank komersil, ia akan menjadi pesaing kepada koperasi kredit.

“Koperasi kredit hanya mampu memberi pinjaman kecil, sedangkan bank mempunyai kemampuan dan boleh memberi pinjaman yang lebih besar.

“Dengan itu koperasi kredit akan hilang perniagaan dan ini yang merisaukan kita. Apabila ini berlaku, menjadikan sektor koperasi lumpuh sedangkan kerajaan mahu meneguhkan pertumbuhan koperasi,” katanya kepada Bernama selepas
menyampaikan zakat Angkasa kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hari ini.

Katanya beliau tidak faham kenapa Jabatan Akauntan Negara ingin memberi kod potongan gaji kepada bank-bank berkenaan.

Mohd Ali berkata kalau bank boleh terima potongan gaji kakitangan awam secara langsung, orang akan pergi ke bank-bank komersil dan ia akan menjadi persaingan kepada koperasi dan pasti koperasi kredit akan menghadapi masalah.

“Ini kerana bank boleh beri pinjaman yang lebih tinggi manakala koperasi kredit hanya mampu beri pinjaman dengan jumlah yang kecil,” katanya.

Beliau berkata, Angkasa akan merayu supaya Jabatan Akauntan Negara tidak meneruskan hasratnya itu yang dilaporkan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Kita akan menemui Perdana Menteri untuk menyatakan hasrat kita. Gerakan koperasi akan bangun memberi penjelasan mengapa perkara itu perlu dipertahankan.

Angkasa akan tentang kerana ini satu ancaman,” katanya.

Katanya Angkasa selama ini memainkan peranan dengan memberi perkhidmatan membantu koperasi kredit membuat potongan gaji daripada pinjaman yang dibuat oleh kakitangan awam.

– Bernama