39 individu termasuk kanak-kanak ditahan sebar risalah

39 individu termasuk kanak-kanak ditahan sebar risalah

Polis Johor menahan 39 individu termasuk seorang seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun di sekitar negeri ini kerana menyebarkan risalah berhubung penganjuran perhimpunan 9 Julai.

Polis Johor menahan 39 individu termasuk seorang seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun di sekitar negeri ini kerana menyebarkan risalah berhubung penganjuran perhimpunan 9 Julai.

Ketua Polis Johor Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua 24 lelaki dewasa, 14 wanita dan kanak-kanak itu ditahan secara berasingan sejak Jumaat sehingga Isnin lepas.

“Penahanan pertama dilakukan terhadap seorang lelaki, di Kluang, pada Jumaat lepas. Pada hari yang sama, polis turut menahan dua lelaki dan empat wanita dalam satu sekatan jalan raya di Batu 43, Jalan Batu Pahat-Mersing serta
merampas 5,567 risalah daripada mereka,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata penahanan seterusnya dilakukan pada Sabtu terhadap 21 lelaki dan sembilan wanita yang menaiki sebuah bas persiaran dan sebuah kereta Toyota Hilux, di Tangkak, dekat Ledang.

Beliau berkata dua daripada yang ditahan itu merupakan rakyat Filipina serta Korea Selatan dan polis merampas 1,435 risalah mengenai perhimpunan berkenaan daripada mereka.

Katanya polis pada Isnin menahan seorang wanita di pasar malam Taman Perling, di sini, ketika wanita terbabit bersama suami dan anaknya yang berumur tujuh tahun sedang menyebarkan risalah mengenai perhimpunan itu kepada orang ramai.

“Suami wanita itu yang mendapat taraf pemastautin tetap di negara ini berjaya melarikan diri dan polis kini menubuhkan pasukan khas bagi mengesannya,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 11(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas direkodkan keterangan.

Beliau berkata Polis Johor menerima 107 laporan daripada pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan dan orang perseorangan yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjuran perhimpunan
berkenaan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang risalah dan tidak terpengaruh untuk menyertai perhimpunan berkenaan.

– Bernama