Muhyiddin: Rakyat masih percaya kerajaan Barisan Nasional

Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yakin rakyat percaya bahawa perjuangan Barisan Nasional (BN) masih
relevan dan tidak akan terjebak dengan perang psikologi pembangkang yang kononnya akan dapat menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Itu perang psikologi mereka mulakan untuk membetulkan fikiran rakyat bahawa tidak guna sokong BN kerana BN akan kalah. Dia main psikologi menang, sokonglah mereka dan mereka akan tubuhkan kerajaan,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas melawat University Maryland di Washington, Isnin.

Muhyiddin yang berada di Washington bagi lawatan kerja empat hari bermula Ahad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang dilaporkan berkata pembangkang boleh menawan 11 negeri pada pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno berkata pembangkang boleh mendakwa mempunyai kemampuan untuk menang pada pilihan raya umum akan datang dan mendapat kerusi banyak tetapi yang membuat pilihan adalah rakyat.

“Mereka boleh kata mereka menang dalam pilihan raya umum dan dapat kerusi banyak tapi yang penting untuk BN teruskan agenda kita melalui janji dengan mereka yang berkaitan baik dalam bidang masyakarat, ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya.

“Dalam satu sudut, kita lihat dalam keputusan pilihan raya kecil, termasuk (pilihan negeri) Sarawak, walaupun pembangkang buat pelbagai andaian seperti boleh ambilalih kerajaan, rakyat yang membuat keputusan dan menentukannya,” katanya.

Bagaimanpun, Muhyiddin mengingatkan adalah penting bagi BN meneruskan agenda demi kepentingan rakyat.

“Saya tahu cabaran bukan mudah. Pembangkang sudah ada cita-cita untuk tumbangkan kerajaan dan Putrajaya menjadi sasaran mereka. Bagaimanapun kita (BN) tidak boleh ambil mudah,” katanya.

Muhyiddin berkata Kit Siang sebenarnya bimbang BN sudah melangkah ke hadapan dengan transformasi politik dan ekonomi yang akan memberi impak besar.

“Pembangkang juga semakin bimbang ‘Road To Putrajaya’ mereka terbantut, jadi mereka buat perang psikologi. Saya yakin rakyat tidak akan terjebak,” katanya.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE