Projek MRT bukan umpan untuk dapat undi

Projek pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) dari Sungai Buloh ke Kajang bukan sebuah projek yang dilakukan semata-mata untuk memancing undi seperti yang didakwa pihak pembangkang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata projek itu dilaksanakan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar walaupun mendapat bantahan daripada segelintir pihak.

“Nak sebut kalau kita nak pancing undi, ini tak betul kerana bukan itu tujuannya dan kalau hendak pancing undi kenapa ada orang marah,” katanya ketika menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tan ingin tahu mengenai butiran lanjut projek pembinaan MRT dari Sungai Buloh ke Kajang, yang jajaran laluan akan melalui kawasan Cheras, serta kemudahan yang disediakan dan bentuk bantahan daripada orang ramai.

Mohamed Nazri berkata antara bantahan yang diterima termasuklah mengenai pengambilan tanah Tokong Chee Yuan Tong untuk tujuan pembinaan stesen Maluri dan bantahan dari Badan Pengarah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Naam Kheung kerana lokasi jajaran berhampiran dengan bangunan sekolah.

“Selain itu, terdapat juga bantahan ke atas jajaran dan lokasi stesen yang terlalu dekat dengan rumah kedai Taman Bukit Ria dan kawasan perumahan Taman Midah,” katanya.

Sebagai langkah tindakan maklum balas bantahan-bantahan itu, Mohamed Nazri berkata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengadakan beberapa  perjumpaan dengan wakil-wakil penduduk, wakil Lembaga Pemegang Amanah Tokong dan Badan Pengarah Sekolah.

“Daripada perjumpaan-perjumpaan tersebut, pihak Prasarana berjanji untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya dan berkesan semasa perlaksanaan projek MRT.

“Ini termasuk soal pemindahan tokong, langkah untuk mengatasi kesesakan lalu lintas, pengambilan tanah dan pampasan,” katanya.

Beliau berkata kos keseluruhan projek itu hanya akan dapat dipastikan setelah jajaran dan lokasi stesen dimuktamadkan apabia skim pengangkutan kereta api itu diluluskan kerajaan.

Semasa menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Serdang) mengenai jumlah pelarian di Malaysia, Mohamed Nazri berkata terdapat 83,573 orang layak diiktirafkan sebagai pelarian dan 10,036 pemohon suaka berdasarkan statistik Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) sehingga Mei
tahun ini.

“Kerajaan juga tidak pernah menafikan hak pelarian untuk mendapat perkhidmatan kesihatan di pusat-pusat perubatan tempatan.

“Pelarian ini layak mendapat diskaun sebanyak 50 peratus ke atas caj perubatan berbanding dengan kadar biasa yang perlu dibayar oleh warga asing,” katanya.

– Bernama