Keluarga ratapi kehilangan 5 lelaki

Keluarga ratapi kehilangan 5 lelaki

Ibu mangsa, B Alagama berkata setiap hari beliau berdoa supaya anaknya lekas pulang dan kembali ke pangkuan keluarga.

Keluarga kepada mangsa lima lelaki yang hilang di Sri Kembangan kira-kira 90 hari lalu menggesa polis menyiasat dengan segera kehilangan anggota keluarga mereka.

Salah seorang keluarga mangsa, M Nadarajah berkata sehingga kini beliau masih tidak mengetahui di mana anaknya N Madhan berada.

“Kita tidak tahu, dia (polis) pun tak beritahu yang (anak saya) ditangkap polis atau tidak,” katanya dalam nada sebak.

Malah, beliau memberitahu bahawa anaknya tidak pernah mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

“Dia seorang anak yang baik, tak pernah buat kesalahan, sekarang ini orang kampung tanya mana anak saya, kita tak tahu nak jawab apa,” katanya.

Kelima-lima mangsa yang dilaporkan hilang berusia dalam lingkungan 27 tahun manakala seorang lagi berusia 21 tahun dan masih menuntut di kolej swasta.

Nama mereka adalah M Ari Kumar, G Jayasingam, N Madhan, P Dlipan dan R Gobi Krishna.

Mereka dilaporkan hilang di sebuah kompleks membeli belah di Sri Serdang pada 4 April lalu.

Sementara itu, ibu mangsa, B Alagama berkata setiap hari beliau berdoa supaya anaknya lekas pulang dan kembali ke pangkuan keluarga.

Ditanya mengenai harapannya, lidahnya kelu dan beliau terus menangis hanya mampu mengesatkan air matanya.

“Saya berharap beliau pulang,” katanya merintih.

Bagi N Muthukumaran, kehilangan adiknya yang paling bongsu amat terasa kerana saudara lelakinya itu menjaga ibu bapanya sebelum ini.

“Kejadian berlaku dalam kawasan kompleks membeli belah, mana ada penculik, ini Malaysia bang, bukan negara luar, negara kita selamat.

“Saya minta pihak polis untuk tolong menyiasat perkara ini,” katanya lagi.