Ikan air tawar dapat sambutan di pasar tani

Ikan air tawar dapat sambutan di pasar tani

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu sedang mengambil langkah untuk mempromosi ikan air tawar memandangkan ia semakin diminati masyarakat di negeri ini.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu sedang mengambil langkah untuk mempromosi ikan
air tawar memandangkan ia semakin diminati masyarakat di negeri ini.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata ikan air tawar didapati mempunyai banyak kelebihan daripada segi kesihatan terutamanya ikan keli, belut dan juga haruan.

“Tahun ini, kita telah membuat kempen dan promosi ikan air tawar beberapa kali di pasar tani di Besut dan sambutannya memberangsangkan,” katanya hari ini.

Beliau berkata bagi golongan yang prihatin kepada kesihatan, kaedah  pemakanan ikan air tawar adalah lebih kepada perubatan, selain dibuat lauk-pauk.

Hasan berkata ikan haruan mempunyai khasiat untuk menyembuhkan luka dalam  perut terutamanya selepas pembedahan dan untuk rawatan penyakit gastrik, belut  boleh mengubat penyakit asma, menyembuhkan kesan luka pembedahan, menguatkan daya tahan tubuh dan beberapa jenis penyakit lagi jika dimakan berterusan.

Kelebihan ikan keli pula adalah baik untuk pertumbuhan otak dan pembesaran kanak-kanak selain mengurangkan risiko penyakit barah dan jantung, katanya.

Hasan berkata ikan air tawar sekarang ini mula mendapat perhatian dan digemari oleh mereka yang tinggal di tepi laut berikutan harga ikan laut lebih tinggi berbanding ikan air tawar.

Harga ikan keli ialah RM6 sekilogram, haruan RM17 dan belut RM18 untuk ikan yang bukan diternak. Ikan lain seperti talapia dijual pada harga RM12 sekilogram, patin RM8, baung RM16, lampam jawa RM12, toman RM10 dan ikan belida
RM12 sekilo.

“Yang mendapat sambutan dan laris ialah belut, keli dan haruan,” katanya. Hasan berkata setakat ini terdapat 14 penjual ikan air tawar iaitu lapan orang di pasar tani Padang Hiliran, Bukit Payong dan Besut masing-masing  (dua), Hulu Terengganu dan Kemaman masing-masing (satu).

Daripada jumlah itu, terdapat enam penternak yang menternak ikan keli, haruan, belut dan talapia iaitu empat orang di pasar tani Padang Hiliran dan  dua orang di pasar tani Bukit Payong, Marang.

Beliau berkata kebanyakan pasar-pasar di Terengganu menjual ikan air tawar dan yang paling banyak ialah di pasar tani Padang Hiliran, sama ada yang sudah diproses atau hidup.

Hasan berkata nilai jualan ikan air tawar sepanjang tahun lepas adalah  sebanyak RM470,673 dan bagi lima bulan pertama tahun ini ialah RM199,730.

“Kita jangka jualan keseluruhan ikan air tawar sehingga akhir tahun ini boleh mencecah RM500,000,” katanya.

– Bernama