Tiga kawasan di Jeli kawasan berisiko serangan gajah

Tiga kawasan di Jeli kawasan berisiko serangan gajah

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Rahmat Topani berkata pihaknya mengenal pasti tiga kawasan berisiko tinggi di jajahan itu terdedah dengan serangan gajah liar iaitu di sekitar Kampung Batu Melintang, Kuala Balah dan Lubuk Bongor.

Beliau berkata ia berdasarkan aduan penduduk yang sering terserempak dengan haiwan berkenaan.

“Kita nasihatkan mereka sentiasa mengawasi kawasan berkenaan bagi mengelakkan serangan haiwan liar itu yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan mereka,” katanya kepada Bernama, selepas menyampaikan taklimat mengenai Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kepada masyarakat daerah Jeli, di Dewan Rukun Tetangga.

Ia membabitkan 100 penduduk dan 14 penghulu, termasuk Orang Asli dan bertujuan menjelaskan mengenai Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Pada majlis itu, beberapa peserta melaporkan pernah terserempak dengan beberapa ekor gajah, sama ada sedang melintas jalan di lebuh raya Jeli-Grik atau merosakkan tanaman mereka sejak kebelakangan ini.

Sehubungan itu, Rahmat menasihatkan penduduk yang mengadakan aktiviti pertanian mengambil langklah-langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelakkan tanaman mereka diserang haiwan liar dengan membina pagar berduri, elektrik dan parit.

Beliau turut mengingatkan penduduk supaya tidak bertindak sendiri apabila menghadapi serangan binatang liar itu sebaliknya memaklumkan kepada pegawai Perhilitan berhampiran.

– Bernama