Banduan kes rogol dihadapkan mahkamah sekali lagi atas kesalahan sama

Seorang banduan, yang sedang dipenjara 30 tahun kerana kesalahan merogol, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan merogol dan meliwat seorang pelajar berumur 19 tahun di sebuah kawasan perkuburan di Hulu Selangor dekat sini, dua tahun lepas.

G. Thiyagaran, 35, dari Kuala Kubu Baharu dekat sini, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Tertuduh kini menjalani hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan di Penjara Taiping, Perak, selepas didapati bersalah pada 24 Sept tahun lepas oleh mahkamah Sesyen Ipoh, Perak atas kesalahan rogol.

Dalam pertuduhan hari ini, tertuduh didakwa merogol mangsa di kawasan perkuburan Cina Kerling, Hulu Selangor, kira-kira pukul 7 pagi pada 8 Okt 2009 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Thiyagaran juga didakwa meliwat mangsa di tempat, masa dan tarikh sama dan pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 377C kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sebelum kejadian, mangsa yang sedang menunggu bas dipercayai telah diperdayakan tertuduh untuk masuk ke dalam keretanya dan turut diugut tertuduh yang menyatakan bahawa dia mempunyai pistol.

Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan kesalahan dilakukan tertuduh serius.

Hakim Mohammed Mokhzani menetapkan 25 Julai depan untuk sebutan bagi tertuduh melantik peguam.

Thiyagaran, sebelum ini, mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau atas pelbagai kesalahan termasuk rogol, mengurung orang, mencabul, meliwat serta mencuri motosikal.

– Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE