PDRM rancang rombakan jabatan narkotik

PDRM rancang rombakan jabatan narkotik

Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang untuk melakukan rombakan terhadap Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ekoran laporan yang membabitkan pegawai dan anggotanya dengan jenayah dadah.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang untuk melakukan rombakan terhadap Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ekoran laporan yang membabitkan pegawai dan anggotanya dengan jenayah dadah.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk berbuat demikian selain menyusun semula tugasan harian di jabatan berkenaan.

“Ini antara langkah yang difikirkan perlu supaya kita dapat siasat dari mana mereka mendapat bekalan dadah, apa tujuan mereka mendapatkan dadah, juga akan disiasat harta mereka jika ada bukti mereka menjual dadah dan lain-lain lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau ditanya mengenai penglibatan anggota dan pegawai jabatan itu dalam jenayah dadah berikutan beberapa anggota dari cawangan narkotik ditahan baru-baru ini kerana kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun Noor Rashid berkata secara keseluruhan penglibatan anggota polis dalam jenayah dadah tidak sampai satu peratus.

Pada 31 Mei lepas, seorang pegawai kanan dan lima anggota berpangkat rendah yang bertugas di bahagian narkotik di sekitar Kuala Lumpur ditahan kerana disyaki terlibat dengan pengedaran dadah.

Manakala pada 17 Jun lepas, enam anggota dari Balai Polis Petaling yang berpangkat Koperal dan Lans Koperal ditahan di sekitar Kuala Lumpur kerana kesalahan yang sama selain turut positif dalam ujian dadah.

Sementara itu Noor Rashid berkata seramai 896 orang, termasuk 92 wanita ditahan dari April hingga 19 Jun lalu kerana kesalahan mengedar dadah.

Menurutnya pihaknya turutĀ  membongkar 11 makmal memproses dadah, lapan di Pulau Pinang, dua di Selangor dan satu di Kedah yang turut melibatkan tangkapan 22 orang.

Beliau berkata dalam tempoh yang sama, pihaknya telah menyita harta dianggarkan bernilai RM26.7 juta yang disyaki diperoleh hasil daripada pengedaran dadah.

“Secara keseluruhannya bagi tempoh sepanjang tahun ini (Januari hingga Jun), polis menangkap seramai 79,335 orang atas pelbagai kesalahan dadah danĀ  merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM148.23 juta.

– Bernama