Polis kesan suami isteri terbabit kegiatan penipuan RM7juta

Polis kesan suami isteri terbabit kegiatan penipuan RM7juta

Polis telah membongkar kegiatan penipuan oleh sepasang suami isteri membabitkan kerugian kira-kira RM7 juta. Ketua Polis Perak Shukri Dahalan berkata pasangan itu dipercayai menawarkan tanah kerajaan, tender dan kontrak kepada mangsa.

Polis telah membongkar kegiatan penipuan oleh sepasang suami isteri membabitkan kerugian kira-kira RM7 juta.

Ketua Polis Perak Shukri Dahalan berkata pasangan itu dipercayai  menawarkan tanah kerajaan, tender dan kontrak kepada mangsa.

Polis menjalankan siasatan selepas menerima aduan daripada tujuh mangsa bulan lepas, katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Ketua Polis Perak hari ini.

Hasil siasatan, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Kuala Muda, Kedah pada 14 Jun dan menahan seorang lelaki berusia 21 yang juga anak kepada pasangan berkenaan.

Pasukan berkenaan menemui sebuah beg mengandungi wang tunai lebih RM1 juta yang ditanam di belakang rumah lelaki itu, katanya.

Pasangan berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan penipuan di Teluk Intan dengan menawarkan pelbagai tender kerajaan kononnya untuk membekal buah-buahan dan barangan runcit untuk Tentera Laut Diraja Malaysia, kontrak dengan Jabatan Pengairan dan Saliran dan tanah rizab kerajaan, kata Shukri.

“Mereka memperdayakan mangsa dengan berlagak mewah dan menjamu mangsa dengan makanan mahal selain menunjukkan kemewahan dengan menderma ribuan ringgit kepada tokong atau sekolah,” katanya.

Shukri meminta orang ramai yang mengenali Song Siew Weng, 49, dan seorang  wanita, Chong Heoy Choo, 40, supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan kes itu.

Alamat terakhir Song ialah di 58, Persiaran Pengkalan Timur 11, Taman Desa  Pakatan, Ipoh, manakala alamat terakhir Chong ialah No 39, Lorong Tupai Mas, Taiping.

Orang ramai yang mengenali atau mengetahui mereka diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak melalui  nombor telefon 05-2451222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di nombor telefon 05-6299222.

– Bernama