Menteri Besar Perlis gesa belia supaya menolak perhimpunan Bersih

Golongan belia perlu perkukuh keharmonian negara dan tidak membabitkan diri dalam kegiatan yang merosakkan termasuk demonstrasi jalanan haram pada 9 Julai ini, kata Menteri Besar Perlis Dr Md Isa Sabu.

Menurutnya mereka perlu sentiasa membersihkan negara daripada tindakn yang boleh menggugat keharmonian yang selama ini dinikmati oleh rakyat berbilang kaum sejak negara mencapai kemerdekaan.

Berucap pada majlis penyampaian anugerah belia negara 2011 peringkat negeri Perlis di sini malam tadi, beliau berkata perbuatan demonstrasi jalanan haram ini tidak akan membersihkan negara tetapi hanya menimbulkan keresahan kepada masyarakat.

Beliau berharap golongan muda menolak demonstrasi ini yang jelas akan merosakkan harapan rakyat untuk terus menikmati kedamaian yang berpanjangan di negara ini.

Kerajaan meletakkan harapan yang tinggi kepada golongan belia sebagaiĀ  pewaris kepimpinan negara dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka, tambah beliau.

– Bernama