17,177 ketua isi rumah sertai program 1Azam

17,177 ketua isi rumah sertai program 1Azam

Program Kemasyarakatan 1AZAM yang ditawarkan kepada ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan miskin yang produktif telah menampakkan keberkesanan dengan penyertaan sejumlah 17,177 KIR sejak diperkenalkan tahun lepas.

Program Kemasyarakatan 1AZAM yang ditawarkan kepada ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan miskin yang produktif telah menampakkan keberkesanan dengan penyertaan sejumlah 17,177 KIR sejak diperkenalkan tahun lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Heng Seai Kie berkata seramai 82 KIR daripada jumlah tersebut adalah daripada etnik Orang Asli di seluruh negara.

“Memandangkan Program Kemasyarakatan 1AZAM masih di peringkat awal pelaksanaan, maka impak keberkesanan program ini hanya dapat diketahui pada penghujung tahun 2011,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan
Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) di Dewan Rakyat hari ini.

Noraini meminta kementerian tersebut menyatakan statistik miskin tegar mengikut pecahan kaum dan jumlah masyarakat Orang Asli yang terlibat dalam Program Kemasyarakatan 1AZAM serta pencapaian kementerian untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

See also  Forest City gets boost with PM visit and future plans

Heng berkata para peserta program tersebut diberikan bimbingan dan dipantau oleh agensi pelaksana iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi AZAM Tani, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Amanah Ikhtiar Malaysia bagi AZAM Niaga dan AZAM Khidmat.

“Manakala Kementerian Sumber Manusia bagi AZAM Kerja demi memastikan pengekalan projek oleh KIR dalam usaha menjana pendapatan berterusan, sekaligus meningkatkan taraf hidup serta tahap ekonomi keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata setiap peserta program bukan sahaja diberi latihan, malah mereka akan diberi geran bantuan sama ada dalam bentuk kewangan atau peralatan.

“Mereka akan dipantau oleh pakar yang dipetanggungjawabkan untuk satu tempoh yang ditetapkan dan sehingga pendapatan mereka melebihi ataupun mencecah RM3,500 sebulan bagi tiga bulan berturut-turut,” katanya.

See also  WVM launches 'Right the Wrong' campaign to combat poverty and hunger

Heng juga berkata seramai 44,535 KIR miskin tegar telah dibasmikan pada tahun lepas daripada senarai berdaftar di bawah sistem eKasih.

“Daripada jumlah tersebut, 17,162 KIR terdiri daripada etnik Melayu, 525 KIR etnik India, 398 KIR etnik Cina, 6,338 KIR tenik Iban, 413 KIR etnik Kadazan, 64 KIR etnik Orang Asli dan 19,743 KIR etnik Bumiputera dan lain-lain kaum di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Program 1AZAM yang diperkenal tahun lepas dengan tujuan meningkatkan pendapatan rakyat miskin dan miskin tegar menerusi empat cabang aliran iaitu, Azam Kerja, Azam Tani, Azam Niaga dan Azam Khidmat adalah untuk merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengeluarkan golongan itu daripada kehidupan sedemikan menerusi kebajikan produktif.

– Bernama