Ops kutu sampah beri kesan

Ops kutu sampah beri kesan

Pemangku Yang Di Pertua MPK, Ikhsan Mukri berkata sebanyak 108 kompaun dikeluarkan antara Mac hingga Mei dan kebanyakan pesalah terdiri daripada warga asing.

Seramai 12 pesalah dikompaun dalam Operasi Kutu Sampah yang dilakukan Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang diadakan di pusat bandar di situ.

Pemangku Yang Di Pertua MPK, Ikhsan Mukri berkata, sebanyak 108 kompaun dikeluarkan antara Mac hingga Mei dan kebanyakan pesalah terdiri daripada warga asing.

Menurutnya, penguatkuasaan itu bukan sahaja memberi kesedaran malah pada masa yang sama mendidik orang ramai agar menghargai kebersihan setempat.

“Operasi seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan kebersihan kawasan setempat berada di tahap memuaskan sepanjang masa.

“Malah ia juga mendapat reaksi positif di kalangan penduduk yang memuji langkah majlis kerana ia member impak terutama di kalangan warga asing”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengikuti Operasi Kutu Sampah di pusat bandar dan kawasan sekitar.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitaran,Wan Mohd Sofian Wan Husain,Pengarah Penguatkuasa,Andry Arman Masrom dan kakitangan MPK yang lain.

Ikhsan berkata,selain penguatkuasaan,majlis juga giat mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak dan agensi termasuk aktiviti gotong-royong dan program kebersihan yang lain.

Menurutnya, kutipan sampah bagi tiga bulan pertama adalah sebanyak 272 tan dan sehingga Mei,sebanyak 72 program gotong royong diadakan di kawasan bandar di raja itu.