‘Kelaut’ sokong keputusan mansuhkan subsidi super diesel

‘Kelaut’ sokong keputusan mansuhkan subsidi super diesel

Persatuan Pengusaha dan Industri Laut Dalam (Kelaut) Kelantan menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan subsidi super diesel kepada pengusaha bot laut dalam.

Persatuan Pengusaha dan Industri Laut Dalam (Kelaut) Kelantan menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan subsidi super diesel kepada pengusaha bot laut dalam.

Presidennya Nik Sapeia Nik Yusof berkata ia perlu bagi mengurangkan kos pengurusan kerajaan.

“Kelaut juga berharap bekalan minyak diesel kepada nelayan laut dalam diurus sendiri oleh Kelaut bagi memastikan bekalan mencukupi dan permintaan tidak tergendala,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat
jawatankuasa Kelaut di sini, hari ini.

Nik Sapeia juga berharap lesen import ikan diberi kepada ahli-ahli persatuan bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat ekoran pembatalan subsidi tersebut.

Katanya peluang mengimport sendiri ikan untuk pasaran tempatan dan mengurus bekalan diesel oleh Kelaut dapat memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan mengurangkan masa menunggu di pangkalan.

Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Noh Omar berkata walaupun kerajaan telah memansuhkan subsidi super diesel kepada nelayan laut dalam, mereka masih menikmati pelbagai insentif dan galakan yang lebih baik berbanding nelayan pantai.

Kelaut mempunyai 30 ahli dengan jumlah bot 210 buah yang beroperasi di perairan Kelantan dan Terengganu dengan jumlah pendaratan antara 250 metrik tan dan 300 metrik tan setahun.

– Bernama