Warga emas lumpuh nyaris rentung dalam kebakaran di Kubang Pasu

Warga emas lumpuh nyaris rentung dalam kebakaran di Kubang Pasu

Seorang warga emas yang lumpuh seluruh anggota badan kerana angin ahmar nyaris rentung dalam satu kebakaran membabitkan dua buah rumah papan di Kubang Pasu, pagi tadi.

Seorang warga emas yang lumpuh seluruh anggota badan kerana angin ahmar nyaris rentung dalam satu kebakaran membabitkan dua buah rumah papan di Kubang Pasu, pagi tadi.

Ketika kejadian pada 8.30 pagi itu, Bidah Salleh, 85, tinggal bersendirian kerana anaknya yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital di sini keluar bekerja.

Jiran Bidah yang juga mangsa kebakaran, Mohd Yusri Rosdi, 22, berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada rumah Bidah sebelum merebak ke rumah neneknya yang terletak bersebelahan.

“Masa kejadian itu saya tengah tidur, tetapi tiba-tiba dikejutkan jeritan api. Saya terus berlari menyelamatkan diri dan ketika itu saya nampak rumah makcik Bidah sedang dijilat api dan penduduk kampung mengusung makcik Bidah
keluar,” katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Yusri berkata beliau dan enam lagi ahli keluarganya termasuk datuk, nenek, emak saudara dan sepupu juga sempat menyelamatkan diri dan kini mereka tinggal sehelai sepinggang.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Wan Hassan Wan Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.30 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Katanya seramai 39 anggota, empat jentera membabitkan Balai Kota Baharu, Pengkalan Chepa dan Kota Darulnaim terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran itu dalam tempoh 20 minit.

“Kawasan Kubang Pasu merupakan kawasan berisiko tinggi kebakaran kerana kebanyakan rumah di kawasan itu adalah rumah setinggan dan separa kekal, bagaimanapun dengan kepantasan pihak kita berjaya menyelamatkan tiga buah rumah berhampiran daripada turut hangus.

“Maklumat awal mendapati kebakaran bermula dari rumah seorang mangsa yang bernama Bidah sebelum merebak ke sebuah lagi rumah berhampiran. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Bagaimanapun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya di tempat kejadian.

– Bernama